WhatsApp adalah aplikasi pemesejan yang cukup popular. Ia ditawarkan di banyak platform termasuk pada Windows, iOS, Android dan juga web. Walau bagaimanapun, untuk tablet selama ini ia terhad kepada peranti Android sahaja dan WhatsApp pada iPad hanya boleh diakses melalui Safari.
Terbaru, Meta dilihat telah memulakan ujian beta untuk aplikasi WhatsApp pada iPad. Berbeza dengan aplikasi WhatsApp pada tablet Android yang boleh log masuk terus dengan nombor telefon pengguna, versi iPad terhad kepada ciri Connected Devices sahaja.

Tidak pasti kenapa pengguna tidak dibenarkan untuk menggunakan nombor telefon secara terus. Selepas WhatsApp pada iPad dihubungkan dengan telefon pintar pengguna menerusi kod QR, aplikasi pemesejan ini boleh terus digunakan asalkan iPad bersambung dengan Internet.
WhatsApp untuk iPad hanya boleh diuji oleh mereka yang mempunyai akses kepada ciri Beta di iOS. Buat masa ini masih tidak pasti bila ia akan diedarkan kepada semua pengguna. Mereka yang menantikan WhatsApp untuk iPad akhirnya boleh bertenang dan nantikan kehadiran aplikasi pemesejan ini tidak lama lagi.