Carian
Resident Evil Village Di iPhone 15 Pro Max Dihadkan Ke 720P Dan 30FPS
September 20, 2023 Effi Saharudin

Banyak persoalan muncul mengenai kemampuan iPhone 15 Pro Max dan 15 Pro menjalankan permainan Resident Evil 4, Resident Evil Village dan Death Stranding. Apple sekadar mengumumkan telefon pintar ini mampu menjalan permainan konsol tanpa berkongsi maklumat lebih terperinci. Misteri ini sedikit terjawab menerusi video ulasan telefon ini oleh YouTuber China Zhong Wenze yang diterbitkan semalam.

Dalam video permainan Resident Evil Village, tetapan grafik ialah 720×1560 pixel sahaja serta kadar bingkai dihadkan ke 30 FPS. Mod HDR boleh diaktifkan oleh pengguna. Semua tetapan ini boleh diubah sendiri oleh pengguna menerusi menu tetapan permainan. Tetapan lain yang boleh diubah ialah kualiti model, kualiti lampu, kualiti persekitaran dan melihat jumlah RAM GPU yang digunakan.

Dari segi grafik dapat dilihat resolusinya lebih rendah apabila iPhone 15 Pro Max disambungkan kepada sebuah TV. Imej nampak lebih lembut dan kesan anti aliasing juga tidak begitu baik. Gerigi pada geometri dapat dilihat. Namun begitu bagi sebuah permainan pada telefon pintar, kualiti grafik ini adalah lebih baik berbanding kualiti visual permua biasa.

Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada ini akan menjadi grafik akhir apabila Resident Evil Village, Resident Evil 4, Death Stranding dan Assassin’s Creed Mirage dilancarkan ke siri iPhone 15 Pro. Biasanya pengoptimasian grafik akan dilakukan oleh pembangun pasca pelancaran.

Komen