Ulasan Acer Altos P130 | i9 13900 – Lebih Padu Daripada Mac Pro M2
Rihhadatul Aisy
Seperti yang telah kita sedia maklum stesen kerja ialah sistem komputer yang berkuasa. Ia adalah mesin khusus yang digunakan untuk tujuan seperti suntingan video, menghasilkan kesan khas, suntingan audio resolusi tinggi dan tugasan kejuruteraan. Di Amanz jarang sekali komputer kerja di ulas. Maka apabila diberikan Acer Altos P130 untuk diulas, saya terus bersetuju kerana ingin melihat apakah perbezaan antara desktop biasa dengan komputer kerja kelas mercu.
Oleh itu, dalam artikel kali ini saya akan kongsikan ulasan tentang prestasi dan kemampuan Acer Altos P130 F9 | i9 13900 setelah menggunakannya selama sebulan dari sudut pandang dan pengalaman penggunaan sebagai seorang penyunting video (video editor) di Amanz.
SPESIFIKASI
| CPU | Intel Core i9 13900 |
| GPU | NVIDIA RTX A5000 GDDR6 24GB RAM |
| RAM | 16GB DDR4 |
| Muatan Dalaman | 1TB |
| I/O | Hadapan:4x USB-A 2x USB-C1x slot kad SD1x bicu audio 3.5mm Belakang:6x USB-A6x DP2x Ethernet Port1x Serial Port 1x VGA port1x HDMI1x Speaker1x Line in1x Microphone |
| Bekalan Kuasa (Power Supply) | 700W 80 PLUS® Gold-level |
| SIM/Telefoni | Tiada |
| WiFi | Wi-Fi 6 (802.11ax), Bluetooth |
| Bicu Audio | Ya |
| Kalis Air | Tiada |
| Sistem Imbasan | Tiada |
| Harga Jualan | RM18,699 |
REKAAN
Dari segi rekaan, menara Acer Altos P130 F9 | i9 13900 adalah seperti rekaan kerangka luar komputer desktop biasa. Tiada bentuk lekuk atau penambahan rekaan unik seperti sisi rangka lutsinar atau kelipan lampu LED berwarna-warni apabila dihidupkan. Kerangka stesen kerja ini didatangkan dengan warna hitam, berketinggian 20cm, lebar 34.03cm dan dengan panjang 45cm.
Saiznya sebenarnya adalah sedikit kecil daripada kebanyakan stesen kerja yang biasa dilihat sekaligus menjimatkan ruang yang diperlukan untuk meletakkannya. Di pejabat saya menghargai saiz menara yang kecil ini kerana tidak mempunyai ruang kerja yang besar. Saiz kompak mengelakkan kaki daripada kerap tersepak menara secara tidak sengaja. Menara juga kelihatan kemas serta boleh berfungsi dengan baik sebagai pelindung kepada komponen-komponen dalaman PC daripada kotoran dan debu.

Pada bahagian luar peranti juga terdapat beberapa slot untuk HDMI dan USB disediakan. Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah 4x USB type-A, 2 USB type-C, 1x bicu audio 3.5 mm dan terdapat 1x slot untuk kad SD kesemuanya diletakkan di bahagian hadapan. Walau bagaimanapun pada peranti yang kami terima, slot untuk kad SD tidak dapat digunakan kerana ia hanyalah slot kosong yang tidak mampu membaca data pada kad SD yang dimasukkan.

Kesemua port yang diletakkan di bahagian hadapan ini menjadikannya mudah untuk dicapai berbanding dengan menara komputer yang pernah saya gunakan sebelum ini dimana ia meletakkan hampir kesemua port di bahagian belakang. Ini menyebabkan ia sukar untuk dicapai untuk saya memasang atau mencabut kabel USB daripada peranti.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa lagi port USB yang diletakkan di bahagian belakang. Pilihan I/O serta jumlah bilangan port untuk USB yang terdapat pada peranti ini saya rasakan cukup banyak dan sesuai dengan keperluan penggunaan saya sebagai penyunting video yang perlu kerap memindahkan hasil klip-klip rakaman daripada kamera ke dalam komputer untuk tujuan suntingan. Perkara yang paling melegakan adalah saya tidak perlu lagi menggunakan sebarang penyesuai dan dongel kerana semua jenis port yang saya mahukan telahpun tersedia.
PAPAN KEKUNCI dan TETIKUS

Saya juga menerima papan kekunci serta tetikus yang didatangkan bersama dengan CPU Acer Altos P130 F9. Tetapi apa yang dapat saya katakan, papan kekunci yang diberikan adalah dengan rekaan yang terlalu asas hingga menjadikan pengalaman menaip menggunakan papan kekunci tersebut kurang memuaskan.
Butang kekunci terasa sangat murahan dengan suis pula dari jenis membran. Apabila ditekan terasa seperti menggunakan papan kekunci mainan. Adalah agak aneh Acer memberikan papan kekunci murahan ini untuk komputer kerja yang harga jualannya mencecah lima angka. Tetikus yang diberikan juga adalah jenis asas. Saya langsung menggantikan kedua-dua peranti input ini dengan papan kekunci mekanikal dan tetikus gaming yang lebih berkualiti pejabat.
PENGGUNAAN & PERISIAN
Sistem operasi yang digunakan ialah Windows 11 Pro dan didatangkan dengan jenis pemproses Intel Core i9 13900 yang merupakan jenis cip pemproses paling mercu dengan 24 teras CPU serta beroperasi pada kelajuan asas 2.0 GHz dan boleh meningkat kepada 5.6 Ghz. Ini adalah cip pemproses terkini dan berkuasa ditawarkan oleh Intel di pasaran pada waktu Altos P130 F9 ini dilancarkan.
Kebiasaannya saya memerlukan masa lebih kurang 20 minit atau lebih untuk melakukan proses render video yang telah disunting dengan resolusi 4K untuk tamat. Pada Acer Altos P130 F9 ini, tempoh memproses dipendekkan sehingga empat kali lebih pantas berbanding sebelum ini ketika saya menggunakan Macbook Pro Intel yang digunakan selama ini.
Untuk menguji prestasi berkenaan, saya telah melakukan perbandingan dengan memproses satu projek video yang sama menggunakan kedua-dua peranti iaitu Macbook Pro dan PC. Perkara ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap jenis klip rakaman dan perisian video adalah memiliki saiz dan jenis yang sama. Hasilnya perbandingan yang ketara dapat dilihat menerusi kelajuan serta tempoh masa yang diambil oleh kedua-dua peranti untuk menamatkan proses render video berkenaan.

Bukan itu sahaja, pengalaman menggunakan Macbook Air M1 untuk tujuan rendering juga pernah saya lakukan dan kuasanya masih lagi tidak mampu menandingi kelajuan dan prestasi Acer Altos P130 bagi menjalankan operasi rendering video.
Malahan semasa dalam proses mengulas, saya pernah disuruh oleh editor untuk melakukan suntingan pada video yang dihasilkan pada saat akhir. Kerana Acer Altos P130 F9 yang cukup berkuasa ini, proses suntingan tersebut dapat saya siapkan dalam masa sekitar 5 minit sahaja untuk video 4K sepanjang 6 minit. Tiada lagi isu editor mengomel kerja lambat siap.

Perbezaan yang amat ketara dapat dilihat daripada kedua-dua tangkapan layar tersebut. Tempoh masa yang diambil oleh MacBook Pro untuk memproses video yang telah siap disunting adalah lebih daripada 20 minit dan adakalanya jauh lebih lama daripada itu. Bayangkan untuk menjalankan proses rendering pada video 4K berdurasi hanya lebih kurang 4 minit saya terpaksa menunggu hingga lebih 20 minit untuk siap.
Tetapi pada rajah seterusnya, anda dapat lihat tempoh untuk menyiapkan proses rendering hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit menggunakan Altos P130 F9. Sebagai seorang penyunting video, tiada lagi keluhan yang boleh saya katakan walaupun terpaksa menyunting semula video pada saat-saat akhir kerana tempoh memproses yang pantas ini membuatkan saya cukup lega.

Penggunaan kad grafik NVIDIA RTX A5000 GDDR6 24GB juga amat membantu. Ini ialah GPU yang dibangunkan khusus untuk tujuan grafik dan bukan untuk gaming. Terdapat 8196 teras CUDA yang amat berguna dalam perisian seperti Premiere Pro yang menggunakan teras ini untuk memproses video. Dengan kuasa 27.8 TFLOPS, tidak mengejutkan menyunting dan memproses video boleh dilakukan tanpa sebarang isu.
Pada kebiasaannya saya akan menggunakan perisian Adobe Premiere Pro untuk suntingan video dan pernah beberapa kali saya terpaksa berhadapan dengan situasi dimana paparan perisian tersebut menjadi tersekat-sekat ditambah pula dengan isu lengah masa yang agak teruk ketika menggunakan Macbook Pro yang agak berusia sebelum ini.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan jumlah kapasiti penyimpanan memori sebesar 1TB. Sebagai seorang penyunting video di Amanz, 1TB adalah saiz yang agak kecil untuk ruang simpanan data. Biasanya di Amanz saiz untuk satu fail projek video adalah sebesar 10GB hingga 30GB, jadi untuk seminggu penggunaan ruang simpanan memori boleh mencecah 100GB.
Walaubagaimanapun ia masih bergantung kepada cara penggunaan masing-masing. Tetapi saya rasakan isu tentang ruang simpanan data yang kecil ini bukanlah isu yang tiada jalan penyelesaiannya. Terdapat slot untuk SSD dan HDD tambahan di bahagian dalam sekiranya diperlukan.
SUMBER KUASA
Seterusnya, bekalan kuasa peranti Acer Altos P130 F9 adalah sebanyak 700W 80 PLUS® Gold-level dan saya akui ia bukanlah nilai bekalan kuasa yang terbaik tetapi untuk penggunaan bagi melakukan kerja-kerja suntingan video, bekalan kuasa 700W adalah mencukupi. Saya katakan begitu kerana dengan tingkat bekalan kuasa tersebut, ia mampu menampung NVIDIA RTX & Core i9 dengan baik.

Selama saya menjalankan proses suntingan video dan rendering, tiada pengalaman komputer mati secara tiba-tiba dan paparan menjadi kaku. Semuanya berjalan dengan sangat lancar dan kerja lebih cepat siap kerana kurang gangguan dan masalah dari segi teknikal.
PENANDA ARAS
Bagi menguji, mengukur dan mendapatkan hasil ujian prestasi perisian yang tepat, Cinebench R23, Cinebench 2024 dan CrystalDiskMark digunakan sebagai alat pengukur. Berdasarkan hasil keputusan ujian yang telah dilakukan, penilaian yang lebih baik dapat dilakukan. Di sini saya sertakan hasil keputusan ujian bagi ketiga-tiga ujian penanda aras.

Selepas ujian dilakukan kami mendapati Intel Core i9 13900 mencatatkan markah yang lebih tinggi dalam ujian satu teras serta multi teras jika dibandingkan dengan Apple M2 Ultra. Kemampuan GPU NVIDIA RTX A5000 juga melangkaui kemampuan GPU pada M2 Ultra. Dengan kata lain Acer Altos P130 F9 ialah alternatif kepada Mac Studio atau Mac Pro bagi mereka yang lebih selesa dengan sistem Windows 11.
Dalam ujian penanda aras SSD pula, storan boleh membaca pada kelajuan sekitar 6.4GBps dan menulis pula pada kelajuan sekitar 4.9GBps. Ini bukanlah SSD terpantas pernah saya lihat di makmal Amanz tetapi adalah cukup memadai bagi keperluan kerja sepanjang tempoh ulasan.

Hal ini saya rasakan sangat berguna kerana sebagai seorang penyunting video saya sering memindah keluar dan memindah masuk data daripada PC ke dalam cakera keras (hardisk) serta memindahkan data daripada kad SD kamera ke dalam komputer untuk tujuan suntingan. Sudahlah masa untuk menyunting video perlukan tempoh yang lama, pastinya saya tak mahu jika proses pindah masuk data juga perlu memakan masa.
KESIMPULAN
Apa yang dapat saya simpulkan dalam ulasan kali ini ialah Acer Altos P130 F9 ialah komputer kerja yang amat berkuasa. Berdasarkan pengalaman penggunaan sebagai penyunting video di Amanz, prestasinya adalah memadai dan mampu memberikan saya kepuasan sepanjang tempoh penggunaan.

Harga bagi Acer Altos P130 F9 yang saya ulas adalah RM18,699 yang di atas kertas kelihatan agak mahal. Tetapi seperti yang anda dapat lihat di atas, prestasinya adalah lebih pantas berbanding sebuah Mac Pro atau Mac Studio yang dijual pada harga hampir dua kali ganda lebih mahal. Jika anda memang mencari sebuah komputer kerja untuk menyunting video yang berkuasa, Altos P130 F9 ialah pilihan yang baik.
Saya secara peribadi merasakan tiada masalah sekiranya anda mahu membelanjakan wang lebih untuk membeli CPU dengan harga yang sedikit mahal asalkan ia mampu memberikan prestasi dan kepuasan yang cemerlang sepanjang pengalaman penggunaan.
PRO dan Kelebihan
- Prestasi yang amat memuaskan untuk menyunting video.
- Kepelbagaian jenis dan bilangan I/O yang mencukupi.
- Akses mudah kepada port-port yang diperlukan.
- Mempercepatkan proses rendering video.
KONTRA dan Kekurangan
- Saiz SSD tidak cukup besar.
- Harga agak mahal.
