Instax sememangnya tidak asing lagi dalam menawarkan pelbagai jenis kamera polaroid dan segera yang dipasarkan oleh Fujifilm. Terbaharu Instax Pal telah dilancarkan dengan elemen agak berbeza dengan produk sedia ada.
Ia didatangkan dengan tubuh bersaiz kompak, yang hanya sebesar tapak tangan dengan berat 41gram. Seterusnya tiada kebolehan untuk cetakan segera, sebaliknya kamera ini perlu disambungkan ke aplikasi khusus melalui sambungan bluetooth dan cetakan boleh dibuat menggunakan kamera Instax lain, namun pilihan terbaik adalah Mini Link 2.
Kamera ini telah diiklankan sebagai kamera digital pertama di bawah penjenamaan Instax. Ia dilengkapi sensor CMOS 4.9-megapiksel, bersama kawalan pendedahan yang boleh mengoptimumkan kelajuan pengatup secara automatik antara 1/4 hingga 1/8000 saat.
Sensor juga menyokong julat ISO standard diantara 100 – 1,600, selain lensa sudut lebar yang amat berguna untuk tangkapan imej lebih pelbagai. Terdapat juga sehingga 18 penuras yang tersedia untuk tangkapan lebih menarik, bersama keupayaan untuk menambah tesk dan pelekat dalam masa yang sama.
Gambar boleh diambil menggunakan butang fizikal terbina khusus, di samping turut ditawarkan fungsi tangkapan selang waktu yang membenarkan imej diambil berterusan dengan selang masa tiga saat. Pembesar suara disertakan pula membolehkan tangkapan imej menggunakan kawalan suara dibuat dengan mudah.
Lain-lain spesifikasi termasuklah port USB-C, slot kad mikroSD (memori dalaman boleh memuatkan 50 imej, pemasangan skru untuk tripod, sebuah viewfinder kecil dan penyangkut berbentuk cincin yang boleh ditanggalkan. Harga jualan adalah $199.95 (~RM937) dan mula dipasarkan bermula Oktober.