Razer merupakan pengeluar yang cukup terkenal dengan integrasi RGB pada segenap besar produk keluarannya. Terbaharu mereka menawarkan ciri tersebut ke segmen lampu gaming pula menerusi empat produk baharu yang diumumkan di bawah koleksi Razer Gamer Room.
Bermula dengan Razer Aether Lamp dan Aether Lamp Pro, kedua-duanya merupakan set lampu meja yang sangat ideal diletakkan di ruang tamu atau bilik tidur. Ia dilengkapi dengan sistem pencahayaan RGB yang boleh diubahsuai sepenuhnya menerusi Razer Synapse.
Tahap kecerahan pula boleh mencapai 300 lumen untuk Aether Lamp, dan meningkat kepada 500 lumen untuk variasi pro yang menjadikan kedua-duanya sesuai digunakan untuk pembacaan dalam pelbagai keadaan. Namun kelebihan diberikan pada Aether Lamp Pro yang boleh memancarkan pelbagai warna lampu berbanding variasi standard yang sekadar mampu memancarkan satu warna lampu sahaja dalam satu masa.
Produk seterusnya ialah Aether Light Bulb, yang merupakan mentol lampu WiFi dan mampu memancar kecerahan maksimum 800 lumens. Terdapat juga sistem pencahayaan RGB yang boleh diubahsuai sepenuhnya menerusi Razer Synapse. Di samping mampu bertahan sehingga 25,000 jam penggunaan dan boleh didapati dalam dua saiz asas standard E26/E27.
Produk terakhir ialah Razer Aether Light Strip yang juga sistem pencahayaan RGB yang boleh diubahsuai sepenuhnya. Panjang lampu boleh mencapai 2meter yang sesuai dipasang di pelbagai ruang termasuklah ruang tamu atau bilik. Kesemua produk yang dinyatakan tadi juga serasi berfungsi dengan Matter, Alexa, dan Google Assistant.
Harga jualan adalah bermula $80 (~RM375) dan $130 (~RM609) untuk Razer Aether Lamp serta Aether Lamp Pro. Sementara itu Aether Light Bulb dan Razer Aether Light Strip pula berharga $90 (~RM422) seunit.