Carian
Tecno Phantom V Flip 5G Kini Rasmi – Cip Dimensity 8050 Dan Kamera 64MP
September 22, 2023 Amy Maizuraa

Tecno Phantom V Flip 5G telah dilancarkan secara rasminya hari ini. Ia merupakan telefon boleh lipat clamshell pertama keluaran Tecno, yang juga memberi fokus terhadap peranti berspefikasi pertengahan.

Dari aspek rekaan ia menampilkan skrin sekunder sebesar 1.32-inci sejenis AMOLED (466 X 466 piksel) berbentuk bulat yang juga dimuatkan dengan sokongan dwi-kamera utama. Paparan luar ini juga boleh digunakan untuk sebilangan perkara termasuk kamera. Seterusnya panel belakangnya pula menggunakan bahan berasas kulit yang boleh didapati dalam dua kemasan warna sama ada hitam atau ungu.

Apabila dibuka pula peranti ini menawarkan skrin utama sebesar 6.9-inci AMOLED FHD+ dengan nisbah aspek 20:9 dan kadar segar semula 120Hz. Tecno turut mendakwa peranti ini boleh berfungsi dengan baik mencapai 200,000 kali lipatan tanpa kesan yang ketara. Turut disertakan adalah sistem imbasan cap jari sisi yang diintegrasikan pada butang kuasa.

Seterusnya peranti juga menggunakan cip MediaTek Dimensity 8050, memori memori 8GB RAM LPDDR4 dan storan 256GB untuk tunjang utamanya. Ini digabung juga dengan bateri sebesar 4,000mAh dengan pengecasan pantas 45W menerusi port USB-C, di samping konfigurasi kamera utama 64MP + 13MP dan kamera swafoto sebesar 32MP.

Lain-lain spesifikasi termasuklah sokongan 5G terbina, bluetooth 5.3, NFC dan menjalankan HiOS 13.5 tersesuai yang dibina berasaskan Andoid 13. Harga jualan peranti adalah INR49,999 (~RM2,827) sebuah.

Komen