LimeWire dahulu dikenali sebagai platform memuat turun pelbagai kandungan cetak rompak seperti muzik dan filem. LimeWire kemudiannya ditutup pada tahun 2010 kerana kesalahan ini tetapi dilancarkan semula sebagai platform NFT tahun lalu.
Terbaru LimeWire telah dikemaskini dengan platform AI generatif – LimeWire AI Studio. Platform ini membenarkan pencipta kandungan yang menghasilkan karya digital berkongsi ciptaan mereka dan turut menjana pendapat melalui iklan yang dipaparkan. Platform ini turut menawarkan langganan untuk mengakses lebih banyak model AI generatif.
LimeWire baharu ini boleh menjana imej menggunakan DALL.E-2, Stable Diffusion dan BlueWillow. Akan datang mereka akan hadir dengan model AI tersendiri serta kemampuan menjana muzik dan video. LimeWire AI Studio percuma digunakan tetapi terhad kepada 20 kali sahaja. Walau bagaimanapun kredit tambahan boleh didapatkan melalui langganan bulanan berharga serendah $9.99 sehingga $99.
Selain itu, LimeWire masih ingin memfokuskan kepada arena kripto dengan menawarkan kritopwang mereka sendiri, keseluruhan platform menggunakan teknologi rantaian blok dan setiap setiap imej yang dijana boleh dijadikan sebagai NFT. Agak aneh kenapa NFT masih menjadi fokus sedangkan 95% daripadanya tidak lagi mempunyai nilai.
Apa pendapat anda mengenai peralihan fokus LimeWire daripada platform memuat turun kandungan digital kepada platform AI Generatif dan NFT?