Intel Mengesahkan CPU Desktop Meteor Lake-S Akan Tiba Pertengahan 2024
Nazrin
Pada minggu lepas, Intel telah mengumumkan bahawa cip pemprosesan generasi ke-14 mereka, Meteor Lake akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, dan terbaru, ia juga dilaporkan bahawa CPU Meteor Lake untuk komputer desktop juga akan diperkenalkan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Melalui laporan PC World, Michelle Johnston Holthaus yang merupakan timbalan presiden Client Computing Group di Intel mengatakan bahawa pilihan CPU desktop Intel Meteor Lake akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Tidak banyak yang diketahui dari segi butiran mengenai cip pemprosesan tersebut buat masa ini, tetapi syarikat tersebut dijangka akan memperkenalkan cip Raptor Lake Refresh bulan hadapan, dan akan mula dijual dan digunakan pada komputer-komputer desktop pada awal tahun hadapan.

Menariknya, melalui laporan lain yang memperlihatkan maklumat tertiris mengatakan bahawa CPU Meteor Lake-S yang akan diperkenalkan hanya hadir dengan pilihan CPU 35W dan 65W sahaja, iaitu CPU kelas Intel Core i3 dan Intel Core i5. Walaupun begitu, dengan nama penjenamaan model terbaru, ia dijangka akan dinamakan Intel Core 3 dan Core 5.
Dari segi penggunaan papan induk, ia dijangka bahawa siri CPU Intel Meteor Lake-S ini akan menyokong papan induk Intel LGA1851. Siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake dilihat akan hadir dengan cip memori dan pengawal storan terbina, disamping perubahan dari segi penggunaan teras fizikal dan juga cip NPU untuk kecerdasan buatan, jadi ia adalah sesuatu yang menarik untuk melihat sama ada perkara sama akan berulang untuk siri CPU kelas desktop ini.
[sumber]PC World[/sumber]