Tecno Megabook 2023 14″ telah dilancarkan secara global sebagai sebuah komputer riba yang sesuai untuk kegunaan harian khususnya golongan professional. Penambahbaikan juga dibuat pada tubuhnya yang kini lebih kecil dan ringan, di samping perkakasan dalaman terkini.

Melaluinya skrin sebesar 14-inci FHD (1920 x 1080 piksel) digunakan dengan sokongan untuk gamut warna sRGB 100% dan kecerahan 350nits. Paparan juga melepasi pensijilan TUV Rheinland bagi tujuan mengurangkan cahaya biru yang boleh merengsakan mata.

Seterusnya komputer riba juga dilengkapi Intel Core i7-13700H, yang kemudiannya dipadankan dengan GPU Intel Iris Xe, memori 16GB RAM LPDDR4 dan storan 1TB SSD. Bateri 75Wh yang disertakan pula diiklankan boleh bertahan sehingga 18.5 jam penggunaan, di samping turut menyokong sistem pengecasan 65W Next-gen GaN.

Papan kekuncinya mempunyai fungsi backlit atau lampu pada latar belakang bagi memudahkan proses menaip dalam gelap. Selain terdapat juga kamera AI 2MP disertakan bagi tujuan telesidang bersama sistem pembesar suara terbina. Pilihan I/O pula terdiri dengan : TF Card reader, 2 x USB 3.0 X 2, 1 x USB 3.1, port USB-C dan bicu audio 3.5mm.

Tecno Megabook 2023 14″ dijual pada harga USD 399 (~RM1,869) dan tiada maklumat lanjut mengenai penawarannya di Malaysia diketahui setakat ini.