Carian
DJI Mini 4 Pro Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM3,399
September 25, 2023 Amy Maizuraa

DJI Mini 4 Pro telah diumumkan secara rasminya hari ini sebagai model kemaskini untuk dron bersaiz kompak serta boleh dilipat. Antara penambahbaikan yang dibuat adalah dron ini dilengkapi sistem pengesanan halangan dan laluan penerbangan yang boleh mengelak dari semua arah termasuklah sisi, bawah, hadapan dan belakang.

Selain itu ia juga menawarkan ciri True Vertical Shooting yang amat sesuai untuk rakaman video menegak. Di samping kemampuan masa penerbangan lebih lama yang boleh mencapai 45 minit dengan sekali pengecasan.

Ini kemudiannya dipadankan pula dengan sensor CMOS 1/1.3-inci untuk rakaman imej pegun sehingga 48MP, serta video 4K. Kemampuan video gerak perlahan dalam 4K turut dipertingkatkan kepada 100fps, selain terdapat juga sokongan profil warna D-Log M yang menawarkan lebih daripada 1 bilion warna. Kemudian video Night Shots mode disertakan pula membolehkan pengguna meningkatkan julat ISO sehingga 12,800.

Turut melengkapinya juga adalah FocusTrack yang membolehkan pengguna menetapkan serta menjejaki subjek dalam tiga mod berbeza. Selanjutnya bateri yang disertakan pula mampu membolehkan dron ini terbang sehingga 34 minit, kemudiannya dilanjutkan sehingga 45 miniit dengan bateri yang lebih besar dipanggil sebagai Intelligent Flight Battery Plus.

Dron ini dijual di Malaysia pada harga bermula RM3,399 yang dilengkapi dengan alat kawalan jauh DJI RC-N2, kabel untuk USB-C, satu bateri penerbangan pintar, sepasang kipas dengan skru, pelindung gimbal, pemegang kipas, dan kabel USB-C ke USB-C PD.

Kemudian meningkat kepada RM4,189 yang juga menawarkan pakej yang sama tetapi diganti pula dengan alat kawalan jauh DJI RC 2. Pakej seterusnya pula berharga RM4,599 dengan tambahan dua bateri penerbangan, dua pasang kipas, beg bahu dan hab pengecasan dua hala.

Pakej terakhir pula berharga RM4,899 yang diberikan sehingga tiga bateri penerbangan dan juga tiga pasang kipas tambahan. Ketersediaan adalah menerusi Shopee, Lazada dan pengedar yang sah di seluruh Malaysia.

Komen