OpenAI hari ini berkongsi perkembangan terbaharu dan penambahan beberapa ciri menarik terkini pada penawaran ChatGPT dibawah mereka. Mencuri perhatian ramai adalah pengenalan sokongan suara pada ChatGPT.
Dengan langkah ini, ia sekaligus akan membolehkan pengguna bertanyakan soalan dengan input suara, atau berbual dengan ChatGPT. Ia akan seterusnya menawarkan jawapan atau balasan dalam bentuk suara juga.
Ciri baharu ini sedang diperkenalkan berperingkat untuk pengguna ChatGPT Plus melalui aplikasi ChatGPT di Android dan iOS. Penawaran sokongan sama untuk pengguna versi percuma tidak diketahui lagi.
Pengguna boleh bertanyakan soalan dengan mudah, dan seterusnya menerima balasan dalam pilihan dari lima suara berbeza.
Disamping itu, kemaskini terbaru ChatGPT turut membolehkan anda memuat-naik gambar dan bertanyakan soalan berkaitan dengan gambar tersebut. Sebagai contoh, anda boleh merakamkan gambar barang elektronik dan seterusnya bertanyakan kenapa ia tidak berfungsi, atau bagaimana menggunakannya dan sebagainya. Ia juga turut boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah matematik dan sebagainya.
Ciri baharu ini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada sejumlah pengguna. Bersama pengumuman ini juga, pihak OpenAI turut mengumumkan kerjasama dengan Spotify – dimana Spotify akan guna teknologi kecerdasan buatan OpenAI dalam alih-bahasa podsiar terpilih dengan mengekalkan suara dan gaya penyampai asal.