Carian
Ulasan TCL Tab 11 – Tablet Asas Yang Dikuasakan Imaginasi
October 11, 2023 Fahim Zahar

Saya jarang menguji tablet Android kelas asas kerana sudah dapat mengagak prestasinya dan pengeluar yang tidak membangunkan perisian yang baik. Akibatnya pengalaman penggunaan yang bagus jarang sekali dapat dinikmati.

Baru-baru ini selepas saya menguji Xiaomi Pad 6 dan menyukainya, saya memberanikan diri mencuba TCL Tab 11 pula. Dalam artikel ini akan saya kongsi pendapat saya mengenai tablet ini dan membantu anda memberi nilai adakah ia berbaloi untuk dimiliki?


SPESIFIKASI

TCL Tab 11
Skrin10.95″″ LCD, 2000 x 1200, 60Hz,
NXTVISION Eye Care
PemprosesHelio P60T (12nm)
Cip4x 2.0 GHz Cortex-A73
4x Cortex-A53
Cip GrafikImagination PowerVR GE8320
RAM4GB
Muatan Dalaman128GB
Kamera Utama8 Megapixel, f/2.0
1080p 30fps
Kamera Depan8 Megapixel, 1080p 30fps
Bateri8000mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniWiFi + LTE
AudioKuad-speaker Sound Booster
Sistem ImbasanTiada
Harga JualanRM 999 (4/128 GB)

SKRIN DAN REKAAN

TCL Tab 11 menggunakan skrin 10.95″, panel LCD beresolusi 2K (2000 x 1200), bezel agak tebal untuk tablet moden dan sekadar 60Hz. Skrin tablet ini menggunakan teknologi NXTVISION Eye Care yang dikatakan boleh meningkatkan resolusi, menambah baik warna serta memfokuskan kepada kesihatan mata pengguna. Di mata saya, warna yang skrin ini cuba hasilkan adalah seakan teknologi AI yang ada pada televisyen pintar. Jadi walaupun Netflix pada tablet ini yang terhad kepada resolusi SD sahaja, ia masih nampak cantik.

Warnanya cukup baik dengan butiran yang boleh diterima. Skrin sedikit malap dan paling sukar untuk saya adalah kadar segar semula 60Hz kerana sudah biasa dengan skrin 120Hz ke atas. Walaupun begitu untuk penggunaan biasa setiap hari, skrin tablet ini masih baik untuk ditatal. Isu paling besar saya hadapi setakat ini adalah video beresolusi tinggi di YouTube jika dimainkan akan menjadi seakan TV rosak kerana memori yang tidak cukup tinggi memproses ciri ini.

Video YouTube kelihatan pecah-pecah

Tablet ini direka untuk digunakan secara menegak kerana teknologi NXTVISION tadi turut dibangunkan untuk memudahkan pengguna membaca teks pada skrin. Tablet ini terasa kukuh, premium dan mereka yang menyedari spesifikasinya pasti akan menyangka TCL Tab 11 adalah sebuah produk mercu. Kekurangan kemasan tablet ini adalah ia amat mudah untuk menangkap kotoran cap jari dan sedikit sukar untuk dilap sehingga bersih.

Tiada apa-apa di sisi kanan sementara sisi kiri mempunyai butang laras suara, lubang mikrofon dan slot kad SIM. Di atas pula ada butang kuasa dan dua kekisi speaker serta di bawah sama di atas cuma ada port USB-C. Panel belakang pula terdapat bonggol kamera kecil mirip peranti Samsung dan menariknya Tab 11 ini mudah dikendalikan kerana kemasan kelabu kusam yang tidak licin.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Tab 11 ini menjalankan TCL UI berasaskan Android 13. Sistem operasi ini adalah sangat menghampiri Android stok cuma ia sedikit tenggelam dengan penggunaan ikon dan talam notifikasi yang tersendiri. TCL UI pada saya cukup bagus kerana ia ringan dan boleh beroperasi dengan memori sebesar 4GB RAM. Ia juga mudah digunakan kerana tiada elemen yang mengelirukan, apa yang anda nampak boleh terus diakses dan tidak tersembunyi di dalam tetapan demi tetapan.

TCL UI turut membawakan beberapa ciri tambahan menarik untuk tablet Android. Pertama adalah sokongan stylus yang disambung menggunakan Bluetooth dan dicas menggunakan USB-C. Terdapat aplikasi Jnotes premium khusus untuk pengguna tablet ini, PC Mode untuk penggunaan lebih profesional dan juga Smart Manager untuk pengurusan memori dan sekuriti.

Tidak lupa juga yang tablet ini menyokong dwi-skrin untuk produktiviti yang lebih efisien dan juga boleh menjadi powerbank kepada peranti lain melalui USB-C. Ciri yang paling saya suka adalah Second Screen di mana hanya menggunakan Windows +K, skrin tablet ini sekali dengan sokongan sesentuh boleh menjadi tablet Windows 11. Kebanyakan tablet lain menggunakan perisian yang tersendiri tetapi TCL terus menggunakan apa yang sedia dibangunkan Microsoft.

PENANDA ARAS DAN PRESTASI

TCL memilih untuk menggunakan cip pemprosesan yang sudah usang iaitu Helio P60T 12nm yang dilancarkan pada tahun 2018. Dipadankan pula dengan memori 4GB RAM yang sangatlah kecil untuk peranti tahun 20203. Akibatnya TCL Tab 11 tidak mampu beroperasi dengan lancar. Sepanjang penggunaan selama lebih sebulan, saya kerap mengalami masalah lengah masa yang agak kritikal.

Tablet ini benar-benar memfokuskan penggunaan untuk hiburan sahaja seperti mendengar muzik atau menonton video. Penggunaan produktiviti tidak digalakkan kerana prestasi yang perlahan dan mengganggu kerja-kerja saya. Malah bermain permua ringan pun bermasalah, Monopoly Go atau Marvel SNAP tidak mampu berjalan dengan lancar. Jika anda ingin tahu markah penanda aras tablet ini, berikut adalah senarai untuk AnTuTu 3D Lite, Geekbench 6 dan juga 3DMark.

Tidak banyak tablet di pasaran menggunakan Helio P60T. Maka markah penanda aras dibandingkan dengan Realme C53 (Unisoc Tiger T612), Realme C55 (Mediatek Helio G88), Redmi 12C (Mediatek Helio G85 ), dan Realme Pad 2 (Mediatek Helio G99) yang kesemuanya adala telefon pintar kelas asas.

Geekbench 6

  • TCL Tab 11 – 316/1224
  • Realme C53 – 408/1421
  • Realme C55 – 420/1377
  • Redmi 12C – 403/1212
  • Realme Pad 2 – 723/1967

AnTuTu 3D

  • TCL Tab 11 – 205,796
  • Realme C53 – 253,978
  • Realme C55 – 251,263
  • Redmi 12C – 212,386
  • Realme Pad 2 – N/A

3DMark Wildlife Extreme

  • TCL Tab 11 – 185
  • Realme C53 – 108
  • Realme C55 – 745
  • Redmi 12C – 188
  • Realme Pad 2 – 1354

KAMERA

Kualiti kamera pada tablet ini bukanlah sesuatu yang saya boleh bergantung sepenuhnya untuk mengambil gambar atau menyertai telesidang. Kamera 8MP di belakang dan hadapan tablet ini hanyalah sekadar melengkapkan spesifikasinya agar nampak lebih bernilai untuk pembeli. Anda boleh lihat beberapa sampel di bawah. Gambar tidak nampak hidup ataupun tajam. Kualiti seakan kamera telefon pintar dari sedekad yang lalu. Secara keseluruhan kualiti kamera tablet ini adalah mengecewakan.

AUDIO

Tablet yang menggunakan sistem kuad-speaker adalah perkara yang bagus. Cuma sistem speaker yang TCL Tab 11 gunakan adalah Sound Booster yang memfokuskan kepada kelantangan audio. Ia benar-benar kuat dan hampir seimbang tetapi tidak memuaskan. Bass langsung tiada, high dan mid yang berterabur dan tidak konsisten. Audio yang dihasilkan terlampau diproses dengan perisian dan tidak natural.

BATERI

Kekuatan yang paling jelas pada tablet ini adalah ketahanan bateri yang memuaskan. Penggunaan ringan, Tab 11 ini mampu bertahan selama tiga ke empat hari dengan SOT sekitar 5 jam. Sementara penggunaan berat boleh bertahan hampir dua hari dengan SOT 10 jam. Tablet ini boleh dicas dengan USB-C tetapi kuasanya terhad kepada 18W dan kapasiti bateri 8000mAh mengambil masa lebih dua jam untuk dicas sehingga penuh.

PESAING

TCL Tab 11Realme Pad 2Honor Pad X9
10.95″ LCD, 2000 x 1200,
60Hz, NXTVISION Eye Care
11.5″ LCD, 2000 × 1200, 120Hz11.5″ TFT, 2000 x 1200, 120Hz
Helio P60T (12nm)
4x 2.0 GHz Cortex-A73
4x Cortex-A53
Helio G99 (6nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 685 (6nm)
4x 2.8 GHz Cortex-A73
4x 1.9 GHz Cortex-A53
Imagination PowerVR GE8320Mali-G57 MC2Adreno 610
4GB6/8 GB4GB
128GB128/256 GB + MicroSD128GB
Kamera Utama
8 Megapixel, f/2.0
Kamera Utama
8 Megapixel f/2.0
Kamera Utama
5 Megapixel, f/2.2
Kamera Hadapan
8 Megapixel
Kamera Hadapan
5 Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
5 Megapixel, f/2.2
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
8000 mAh
(Berwayar 18W)
8360 mAh
(Berwayar 33W)
7250 mAh
*Kadar pengecasan tidak didedahkan
RM999 (4/128 GB)RM 1299 (6/128 GB)
RM 1499 (8/256 GB)
RM1099 (4/128 GB, LTE)

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut adalah apa yang anda akan terima apabila membeli TCL Tab 11;

  • 1x TCL Tab 11
  • 1x Pengecas USB-A
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Kerangka pelindung boleh berdiri
  • 1x Pelindung skrin
  • 1x Stilus
  • 1x Set manual

KESIMPULAN

Selepas menggunakan tablet ini untuk lebih sebulan, saya agak terkejut yang saya masih boleh bertabah dengannya dan tidak mengalah untuk meneruskan penggunaan. Tidak dinafikan yang tablet ini tidak mempunyai prestasi yang lancar, audio yang baik atau kamera yang elok untuk telesidang.

Walaupun begitu, TCL UI masih cuba memberikan pengalaman penggunaan tablet Android yang menarik lagi-lagi dengan ciri Second Screen dan Android stok. Buat masa ini, harga jualan RM999 adalah tidak berbaloi kerana anda boleh dapatkan Honor Pad X9 pada harga RM1099 atau Xiaomi Pad 6 dan realme Pad 2 pada harga bermula RM1299 yang saya jamin akan memberikan anda pengalaman penggunaan yang lebih memuaskan.


Pro

  • Skrin yang cantik dan baik untuk tablet asas.
  • Perisian yang ringan, ringkas dan seakan Android stok.
  • Second Screen yang mengubah tablet menjadi Windows 11.
  • Cubaan memberi nilai terbaik dalam penggunaan tablet.

Kontra

  • Prestasi yang sangat teruk, perlahan dan kerap lengah masa.
  • Walaupun skrin cantik, video beresolusi tinggi sukar dimainkan.
  • Pengecasan yang sangat perlahan untuk bateri 8000mAh.
  • Harga jualan yang tidak kompetitif.
Komen