Carian
Palam 12V-2×6 Melepasi Ujian Bekalan Kuasa 640W Apabila Tidak Dipasang Dengan Betul
September 26, 2023 Nazrin

Beberapa bulan lalu kami telah melaporkan bahawa PCI-SIG telah memperkenalkan piawaian palam kuasa baru untuk kad-kad grafik berkuasa tinggi yang dinamakan 12V-2×6 yang akan menggantikan palam kuasa 12VHPWR yang diperkenalkan apabila siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 diperkenalkan.

Palam 12VHPWR tersebut dilihat hadir dengan masalah yang serius, dimana ia harus dipasang dengan betul, atau kad grafik pengguna akan terbakar. Mengeruhkan keadaan lagi ialah palam 12VHPWR ini mempunyai binaan yang tidak begitu berkualiti, kerana terdapat had berapa kali palam ini boleh dipasang sebelum ia rosak.

Dengan palam 12V-2×6 ini, PCI-SIG mengatakan bahawa mereka telah memperbaiki semua kelemahan palam 12VHPWR, dan ia baru-baru ini telah diuji oleh HardwareBusters dengan bekalan kuasa 640W apabila dipasang dengan longgar, dan secara ringkasnya, semua kemaskini yang dilaporkan nampaknya telah dilakukan dengan baik.

Terutamanya ialah pin-pin baru yang digunakan didalam palam baru ini akan mengehadkan jumlah kuasa yang melaluinya apabila ia mengesan bahawa palam tidak dipasang dengan betul. Ini memastikan bahawa palam tersebut tidak mengalami isu pemanasan melampau, dan tidak akan menyebabkan kebakaran pada komponen kad grafik.

NVIDIA sudahpun mengemaskini kad grafik mereka dengan palam baru ini pada kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 mereka, dan ia dijangka bahawa kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 mereka juga akan menerima layanan yang sama.

Komen