Xiaomi Malaysia hari ini telah melancarkan dua peranti mercu mampu milik baharu iaitu Xiaomi 13T dan Xiaomi 13T Pro, generasi siri T mereka yang keempat. Kedua-dua peranti ini menggunakan cip MediaTek Dimensity binaan 4nm dan paling menarik teknologi kamera Leica turut disertakan seperti siri Xiaomi 13.
XIAOMI 13T PRO
Model pertama adalah 13T Pro dengan skrin 6.67-inci AMOLED beresolusi FHD+ (2712 x 1220 piksel) dengan kadar segar semula 144Hz AdaptiveSync, menyokong paparan Pro HDR, Dolby Vision dan HDR10+. Skrin peranti ini turut menyokong kecerahan maksima sehingga 2600 nits.
Untuk cip pemprosesan, Xiaomi menggunakan Dimensity 9200+ 4nm yang dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman mencapai 1TB UFS 4.0. Kamera Leica yang digunakan dipadankan dengan lensa baharu yang Xiaomi bangunkan sendiri. Ia menggabungkan sensor 50+12+50 Megapixel dan juga kamera swafoto 20 Megapixel.
Aplikasi kamera pada 13T Pro turut menggunakan rekaan antaramuka mirip 13 Ultra dan menyokong profil warna Leica serta mod potret Master Lens yang sedia terkenal sebelum ini. Bateri peranti pula adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W HyperCharge tanpa sebarang sistem pengecasan nirwayar. Untuk audio, 13T Pro menggunakan sistem stereo Dolby Atmos.
Xiaomi 13T Pro turut menggunakan sambungan WiFi 7, menyokong Bluetooth 5.4, dwi-SIM 5G/eSIM, mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP68 serta sistem imbasan cap jari bawah skrin merangkap pengimbas nadi. Rekaan peranti pula adalah lebih kurang sama dengan Xiaomi 13, cuma bonggol kamera yang sedikit berlainan. Sisi dan skrin adalah rata tetapi panel belakang sedikit melengkung. Bagi yang tidak tahu, 13T Pro adalah lebih kurang sama dengan Redmi K60 Ultra dengan sedikit perubahan.
XIAOMI 13T
Spesifikasi 13T adalah lebih kurang sama sahaja dengan 13T Pro. Skrin 6.67″ AMOLD 144Hz Dolby Vision, kamera 50+12+50 Megapixel, bateri 5000mAh, speaker stereo Dolby Atmos serta perlindungan air dan debu IP68.
Beza utama pada peranti ini adalah cip pemprosesan Dimensity 9200+ 4nm yang lebih berkuasa dan juga pengecasan yang yang lebih pantas iaitu 120W. Memori pula menggunakan RAM LPDDR5 mencapai 12GB dan storan dalaman yang terhad kepada 256GB UFS3.1 sahaja.
HARGA
Kedua-dua Xiaomi 13T Pro dan 13T mempunyai pilihan warna yang sama iaitu Meadow Green, Black dan Alpine Blue yang lebih berat kerana menggunakan kulit palsu. Harga jualan adalah seperti di bawah;
Xiaomi 13T Pro
- 12/256 GB – RM2,499
- 12/512 GB – RM2,699
- 16/1000 GB – RM3,499
Xiaomi 13T
- 8/256 GB – RM 1,799
- 12/256 GB – RM1,999
Dengan setiap pembelian, Xiaomi Malaysia memberikan jaminan 1+1 tahun dengan satu kali penukaran skrin secara percuma serta langganan Google Drive 100GB. Mereka yang melakukan pra-tempahan bermula 27 September sehingga 6 Oktober di kedai fizikal Xiaomi akan menerima Xiaomi Smart Band 8 bernilai RM199 dan kotak hadiah fotografi bernilai RM299. Sementara yang menempah di kedai atas talian akan menerima Free Buds 4 Pro yang bernilai RM369 dan juga Smart Band 8.