CMF Watch Pro, Buds Pro Dan Power 65W GaN Kini Rasmi – Harga Bermula RM189 Di Malaysia
Amy Maizuraa
Produk CMF by Nothing telah dilancarkan secara rasminya hari ini yang terdiri dengan peranti boleh pakai, fon telinga nirwayar dan kepala pengecas. Kesemuanya dilihat hadir dengan penawaran menarik tersendiri dengan fokus terhadap produk lebih mampu milik, di samping mengetengahkan rekaan dan kualiti cukup memadai.

Bermula dengan peranti boleh pakai, ia dipanggil sebagai CMF Watch Pro. Ia dilengkapi kerangka jam berbentuk bulat serta tali sejenis silikon, di samping skrin AMOLED sebesar 1.96-inci. Turut diberikan adalah pelbagai ciri kesihatan serta kecergasan standard yang merangkumi pemantauan kadar jantung, pola tidur, SpO2, tekanan harian, lebih 100 mod sukan terbina dan GPS terbina. Bateri 330mAh disertakan pula boleh bertahan sehingga 13 hari, selain turut dilengkapi kalis air IP68 dan kebolehan panggilan berasakan AI.


Fon telinga nirwayar CMF Buds Pro pula mempunyai sehingga enam mikrofon terbina yang juga dilengkapi pembatalan hingar aktif hibrid dan Wind-Reduction Mode terbina untuk audio lebih jelas. Tambatan pantas boleh dibuat menerusi bluetooth 5.3, sementara itu codec yang disokong pula ialah AAC, SBC. Bateri disertakan pula boleh berfungsi selama 39 jam sebelum perlu dicas. Pengecasan selama lima minit pula boleh menawarkan masa main balik sehingga lima jam dengan bantuan pod pengecas.

Akhir sekali ialah kepala kepala pengecas CMF Power 65W GaN. Ia mempunyai sehingga tiga port yang merangkumi USB-A dan USB-C dan sesuai digunakan oleh pelbagai produk. Ia juga menyokong pelbagai protokol pengecasan sepeeti PD3.0, QC4.0+/3.0/2.0, SCP, FCP, PPS, AFC, Samsung 9V2A, DCP dan Apple 2.4A.
Bagi yang berminat kesemua produk ini juga telah ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM189 untuk CMF Power 65W GaN, RM239 untuk CMF Buds Pro dan RM399 untuk CMF Watch Pro. Ketersediaan adalah bermula 10 Oktober 2023 menerusi pengedar sah CMF diseluruh Malaysia sama ada secara dalam mahupun luar talian.