Redmi Pad SE telah pun dilancarkan di China bulan lepas. Hari ini bersama-sama dengan Xiaomi 13T dan 13T Pro, Xiaomi Malaysia secara rasminya membawa masuk tablet Android kelas pertengahan ini ke pasaran tempatan.

Skrin Redmi Pad SE adalah LCD bersaiz 11″ dengan resolusi FHD+, nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 90Hz. Untuk cip pemprosesan, Xiaomi menggunakan Snapdragon 680 yang dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Kamera belakang adalah 8MP dan kamera swafoto pula 5MP.

Bateri tablet ini cukup besar iaitu 8000mAh tetapi pengecasan terhad kepada 10W sahaja walaupun dengan USB-C. Di Malaysia Xiaomi menawarkan pilihan warna Lavender Purple, Graphite Gray, dan Mint Green pada harga RM799. Tablet ini boleh dibeli bermula 7 Oktober.