Microsoft Edge baru-baru ini telah membuang ciri tangkapan layar mereka Web select. Bagi menggantikannya, pelayar web ini telah hadir dengan alatan baharu iaitu Microsoft Edge Screenshot. Ciri baharu ini dilihat lebih mudah digunakan dan pasti mereka yang bergantung kepada Web select sebelum ini akan memanfaatkannya.
Microsoft Edge Screenshot boleh diakses dengan menekan kekunci Ctrl + Shift + S atau turut boleh diubah sendiri oleh pengguna. Selepas menekan akan ada bar terapung memaparkan pilihan Capture Web Area untuk pengguna pilih sendiri bahagian mana ingin dijadikan imej dan kursor akan menzum ke bahagian yang ingin dipilih.
Kemudian terdapat Capture Full Page yang terus menyimpan tangkapan layar keseluruhan skrin dan akhir sekali Web Select baharu yang lebih pintar di mana jika ada imej, jadual, teks dan lain-lain ia boleh disalin dan ditampal pada mana-mana aplikasi nota. Turut terbina adalah alatan untuk melakar dan memadam sebelum tangkapan layar disimpan.
Ciri ini masih lagi dalam ujian tetapi sudah boleh diakses oleh pengguna stabil melalui edge://flags. Cari Microsoft Edge Screenshot dan mulakan semula pelayar web ini. Ciri ini dijangka akan terus terbina pada kemas kuini versi stabil akan datang.