Bukan sekadar macOS Sonoma boleh dimuat turun hari ini kerana Microsoft turut melancarkan kemas kini Windows 11 baharu bagi mengaktifkan beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) yang diumumkan dalam acara minggu lalu. Ciri yang paling menarik pastinya ialah AI Windows CoPilot yang boleh berbual seperti manusia serta menjadi imej berdasarkan prom yang dimasukkan oleh pengguna. CoPilot boleh dilancarkan menggunakan butang Win+C.
Ciri lain yang kini boleh diakses ialah Paint dengan sokongan AI generatif. Imej boleh dijana dalam Paint dengan hanya memasukkan prom yang dimahukan.Turut boleh dilakukan dalam Paint menerusi versi baharu ini ialah sokongan Layer dan Transparency yang membolehkan karya dieksport dalam format PNG.
Seterusnya ialah integrasi Passkey. Proses log masuk boleh dilakukan dengan sistem imbasan biometri Windows Hello. Pelayar yang menyokong Passkey pada waktu ini ialah Edge, Chrome, Firefox dan banyak lagi.
Melakukan sandaran awanan PC juga boleh dilakukan lebih mudah menerusi ciri Windows Backup. Dengan ciri ini komputer Windows 11 baharu boleh ditetapkan dengan fail dan perisian yang sama seperti pada komputer Windows 11 lama yang telah disandarkan ke awanan. Terdapat beberapa lagi ciri baharu yang diperkenalkan menerusi ciri ini tetapi untuk melihat senarai lengkap sila ke pautan Windows di bawah.
Untuk menerima kesemua ciri di atas, komputer perlu menggunakan Windows 11 V 22H2. Kesemua ciri akan diaktifkan secara berperingkat menjelang November 2023 bergantung kepada peranti.