Cari @ Amanz

Pelancaran peranti baharu siri iPhone 15 baru-baru ini dilihat turut memberi penekanan terhadap sistem kamera yang baik. Khususnya untuk iPhone 15 Pro Max yang dilengkapi sensor telefoto dengan bukaan aperature besar, yang bermakna mampu meningkatkan kualiti imej. Peranti juga telah diuji oleh pihak DXOMark dengan laporan penuh yang turut telah dikongsi menerusi laman web rasmi.

iPhone 15 Pro Max

Secara keseluruhannya iPhone 15 Pro Max dilihat menduduki tangga kedua di dalam carta, sekaligus meletakkannya di belakang peranti Huawei P60 Pro. Ringkasan ujian menunjukkan peranti ini mendapat 153 mata untuk keupayaan fotografi, 80 mata untuk keupayaan bokeh, 86 mata untuk pratonton, 142 mata bagi kebolehan zum dan 158 mata pula untuk rakaman video.

Merujuk kepada laporan tersebut kamera iPhone 15 Pro Max mempunyai keupayaan merakam gambar dan video yang sangat baik. Sebahagian besar hasilnya mengagumkan dengan kecerahan, kontras dan dedahan yang tepat. Kemudian perincian pada imej juga berjaya dijaga dengan baik dalam pencahayaan terang khususnya untuk fotografi potret. Selain itu kamera ini juga mampu menghasilkan tona warna kulit manusia yang nampak semula jadi, di samping mempunyai sistem autofokus yang pantas.

Namun masih terdapat kelemahan yang masih ditemui khususnya apabila melibatkan hasil dalam keadaan cahaya gelap. Meskipun peranti mampu menawarkan dedahan yang baik untuk kebanyakan situasi namun kesan hingar masih boleh dilihat dengan ketara dalam gambar pencahayaan rendah. Selain itu julat dinamik juga agak terhad dalam adegan situasi yang mencabar, dan butiran yang tidak konsisten untuk semua julat zum juga menjadi kelemahan pada sistem kamera peranti baharu iPhone ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd