CelcomDigi hari ini telah memperkenalkan perkhidmatan Fibre-To-The-Room (FTTR) dengan langganan CelcomDigi Fibre untuk mereka yang mahukan sambungan WiFi untuk setiap pelusuk rumah mereka.
Kemaskini FTTR kepada langganan CelcomDigi Fibre ini tampil dengan perkhidmatan tambahan, dimana Celcom menawarkan pemasangan dan penggunaan penghala WiFi 6 Mesh untuk mereka yang mahukan kebolehan menyambung peranti-peranti mereka secara nirwayar.

Perkhidmatan FTTR ini disediakan untuk pelanggan CelcomDigi Fibre yang melanggan pelan 300Mbps dan keatas, dan hadir dengan pelan untuk 1+1 penghala WiFi Mesh sehinggalah 1+3 penghala WiFi Mesh.
Pelan harga CelcomDigi FTTR adalah seperti berikut:
- CelcomDigi FTTR 1+1 – RM1520 (RM60 untuk 24 bulan)
- CelcomDigi FTTR 1+2 – RM2448 (RM75 untuk 24 bulan)
- CelcomDigi FTTR 1+3 – RM3144 (RM95 untuk 24 bulan)
Menurut laman FAQ CelcomDigi FTTR, tiada kontrak yang dikenakan untuk langganan perkhidmatan ini, akan tetapi, jika anda mahukan, anda boleh memilih untuk membayar harga peranti penghala WiFi 6 ini dan juga caj pemasangan melalui pelan pembayaran mudah (EPP) menggunakan kad kredit CIMB ataupun Maybank selama 24 bulan. Jika tidak, pembayaran penuh juga boleh dilakukan secara tunai, kad kredit/debit dan dompet digital.

Anda yang berminat untuk melanggan pelan CelcomDigi FTTR ini boleh ke laman web ini untuk mendaftarkan minat anda. Pihak CelcomDigi akan membuat panggilan untuk mengesahkan langganan, dan memberi sebarang nasihat tentang keperluan internet WiFi di rumah anda. Mereka juga akan mengesahkan tarikh pemasangan dan juga pembayaran untuk pelan tersebut.
Pemasangan penghala-penghala WiFi ini dijangka siap dalam lingkungan masa 2-3 jam, bergantung kepada berapa banyak penghala WiFi Mesh yang perlu dipasang, dan keperluan anda untuk memastikan semua kawasan rumah anda mendapatkan sambungan WiFi yang kuat dan berkualiti.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelan CelcomDigi FTTR ini, anda boleh ke laman web CelcomDigi Fibre-To-The-Home untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.