Cari @ Amanz

Sukan Asia Hangzhou 2022 merupakan Sukan Asia pertama yang memanfaatkan teknologi perkomputeran awan dan Alibaba Cloud bertanggungjawab menyelesaikannya, dari penyiaran, sehinggalah kepada operasi kejohanan. Untuk acara berskala besar sebegini, penting untuk mana-mana pihak turut memberi penekanan kepada kelestarian acara. Salah satu komponen perkhidmatan Alibaba Cloud memfokuskan kelestarian adalah Energy Expert yang telah digunakan sepanjang kejohanan ini. 

Alibaba Cloud Energy Expert membantu untuk memantau dan mengoptimasikan penghasilan tenaga disamping mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan penarafan kelestarian syarikat dipatuhi. Sehingga kini Alibaba Cloud Energy Expert telah digunakan pada 2,925 perusahaan dari 13 industri, dengan peranti berhubung yang diuruskan sebanyak 30,200, dan secara puratanya menyumbang kepada 12% penjimatan tenaga. Malah, Energy Expert ini turut digunakan oleh UEM Edgenta yang bertanggungjawab untuk pelbagai infrastruktur di Malaysia. 

Dengan pengalaman menerusi Energy Expert, Alibaba Cloud menawarkan solusi yang telah dibangunkan khas untuk Sukan Asia Hangzhou. Ini kerana apa-apa sahaja acara berskala besar, yang melibatkan penggunaan fasiliti mahupun dari segi logistik, penghasilan barangan, kesemua ini akan menggunakan tenaga yang banyak, dan menghasilkan barangan yang berpotensi menyumbang kepada pemanasan global. Dalam menjamin kelestarian kejohanan ini, Alibaba Cloud memfokuskan tiga perkara utama iaitu Kedai Karbon Rendah, Produk Karbon Rendah, dan juga Perkampungan Atlit Yang Mesra Alam. 

Ketiga-tiga perkara ini saling berkait, dimana produk-produk karbon rendah ditawarkan di kedai-kedai yang turut mempunyai kadar penggunaan tenaga yang rendah dan terdapat aktiviti yang menggalakkan pengguna untuk mendapatkan mata ganjaran bagi menebus barangan karbon rendah. Di kedai Yili, mereka lebih banyak menggunakan kuasa solar disamping memasang lampu dan penghawa dingin yang menjimatkan tenaga. 

Antara produk-produk karbon rendah yang boleh diperoleh di kedai ini termasuklah cenderahati Sukan Asia Hangzhou ini yang dihasilkan dari sumber yang mesra alam seperti hama padi, dan dikilangkan di kilang yang mesra alam. Malah pembungkusan cenderahati juga turut menggunakan bahan mesra alam.  Mereka turut menjual set pemukul Ping Pong yang dihasilkan semula dari bola Ping Pong. 

Untuk Sukan Asia Hangzhou 2022 ini, Alibaba Cloud Energy Expert hanya digunakan di perkampungan atlit namun ia merupakan satu permulaan dalam kelestarian acara, dan Alibaba Cloud berharap dapat membawakan solusi ini untuk aspek yang lain didalam kejohanan berprestij ini. 

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd