Kabin Pesawat Malaysia Airlines Tanpa Sistem Hiburan Terbina – Baik Atau Buruk?
Ikhwan Nazri
Saya masih ingat lagi sekitar tahun 2015 sewaktu menaiki penerbangan Air Asia ke Melbourne, saya membayar RM 50 bagi meminjam tablet yang mengandungi kandungan hiburan bagi penerbangan selama 8 jam. Pada tahun tersebut, ia mungkin satu penawaran yang menarik berbanding masa kini kerana perkhidmatan penstriman pada tahun tersebut belum mencapai tahap populariti seperti sekarang.
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk menaiki penerbangan Malaysia Airlines yang tidak lagi menyertakan sistem hiburan dalam pesawat (IFE) tersendiri. Sebaliknya peranti pintar penumpang menjadi pengganti IFE dengan ia menstrim kandungan secara terus dari sistem WiFi yang mereka sediakan.

Rekaan tanpa skrin ini adalah langkah menjimatkan saiz kerusi kabin, sekaligus menambahkan keselesaan dari segi ruang tempat duduk. Dari segi operasi pula, penawaran kabin sebegini turut dapat menambahkan bilangan penumpang yang dapat dibawa, dan syarikat penerbangan tidak perlu berbelanja lebih untuk kos-kos tambahan seperti penyediaan aksesori fon kepala, atau kos mengemaskini kandungan peranti.
Seperkara lagi dengan pengenalan kabin baharu ini, ia juga dapat mengurangkan berat pesawat sehingga 679 kilogram yang dapat menjimatkan penggunaan minyak sehingga 1029 liter, sekaligus mengurangkan pencemaran, membolehkan syarikat secara am menyumbang untuk inisiatif yang lebih mesra alam.

Rekaan kabin yang dicipta khas bagi memuatkan peranti pintar.
Kabin generasi baharu ini menggantikan skrin IFE dengan sebuah talam plastik yang mempunyai tiga senggatan untuk meletakkan peranti dan juga satu pengapit boleh laras mengikut saiz peranti anda. Peranti boleh diletakkan menegak di dalam pengapit ini tanpa perlu risau ia terjatuh jika pesawat melalui ruang udara yang bergolak.

Satu kekurangan pada rekaan dulang peranti dan juga pengapit ini adalah ia dilihat lebih mesra dengan peranti-peranti yang besar seperti iPhone 14 Pro Max, Samsung Galaxy Z Fold, dan tablet. Sekiranya anda menggunakan peranti bersaiz kecil dan kompak, seperti iPhone Mini atau Galaxy Z Flip, anda hanya bergantung kepada senggatan yang disediakan, dan peranti mungkin boleh bergerak lebih-lebih lagi sewaktu berlakunya gangguan cuaca. Peranti d iatas merupakan Huawei Mate 20 Pro yang boleh dikepit, namun menawarkan pengalaman menonton yang lebih kecil.

Dulang peranti ini juga dilihat agak stabil bagi memuatkan peranti bersaiz besar, malah cukup besar untuk anda meletakkan Nintendo Switch dan memainkannya pada aras pandangan yang lebih selesa berbanding meletakkan peranti tersebut pada dulang makan. Saya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang gangguan cuaca pada penerbangan ini, namun sekiranya terdapat sebarang gangguan cuaca, penumpang boleh sahaja memegang peranti bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Kabin generasi baharu Malaysia Airlines ini juga menyertakan palam kuasa USB-A dan juga USB-C yang terletak pada aras yang sama dengan talam peranti. Ini memudahkan peranti dicas semasa ia digunakan walaupun dengan kabel pengecas yang pendek. Kekurangan ialah output kuasa daripada kedua-dua port UBS ini adalah rendah membuatkan pengecasan pantas tidak dapat dinikmati. Mungkin Malaysia Airlines boleh menyertakan palam kuasa 3 pin terus pada kerusi seperti yang ditawarkan oleh Emirates, Qatar dan All Nippon Airways.
Penstriman di dalam kapal terbang – Bagaimana ia berfungsi ?
Bergantung kepada syarikat penerbangan anda, capaian internet untuk perkhidmatan WiFi di dalam kapal terbang biasanya terhad kkepada kelas penerbangan anda. Atau mungkin tertakluk kepada terma kesediaan kapal, seperti contoh untuk kapal yang mungkin hanya mengambil masa 50 minit, perkhidmatan tersebut tidak disediakan. Namun bagi menstrim kandungan hiburan, apa yang dilakukan adalah sambungan secara ‘localhost’, dimana penumpang tidak dapat mengakses internet luaran, namun dapat mengakses laman web yang menyediakan kandungan hiburan yang dipilih.

Akses kepada sistem hiburan Malaysia Airlines ini memerlukan pengguna menghidupkan mod penerbangan dan memilih rangkaian WiFi MHStudio. Pilihan tersebut akan melancarkan laman web mereka, dan seterusnya akan memaparkan kesemua pilihan hiburan di dalam peranti anda. Boleh dikatakan hampir semua yang biasanya ditawarkan menerusi paparan sistem hiburan tradisional, turut tersedia untuk peranti.




Pilihan hiburan seperti filem, drama, buku, majalah, lagu, informasi penerbangan dan juga pembelian barangan dalam kapal terbang turut tersedia. Memandangkan penerbangan saya kurang dari dua jam, pilihan pembelian barangan Temptations dan juga pembelian snek tambahan tidak tersedia. Menariknya, penggunaan sistem MHStudio ini juga turut terikat dengan kawalan kapten kapal iaitu sekiranya terdapat sebarang pengumuman, apa yang anda sedang mainkan akan terjeda bagi memberikan laluan kepada pengumuman tersebut.

Boleh dikatakan, kewujudan sistem hiburan baharu ini sedikit sebanyak tidak memberikan sebarang impak kepada pengguna memandangkan Malaysia Airlines menyediakan aplikasi MHStudio secara percuma. Hanya membuatkan penumpang yang tiada peranti bersesuaian dengan aksesori berpadanan berasa bosan tanpa hiburan. Akan tetapi apa yang boleh ditambah baik adalah sekiranya syarikat penerbangan memberitahu penumpang mengenai pesawat yang bakal mereka naiki, dan memberikan cadangan sekiranya penumpang ingin siap sedia dengan kandungan hiburan mereka yang tersendiri.
Terdapat sesetengah syarikat penerbangan lain turut menawarkan integrasi dari aplikasi kepada sistem hiburan mereka, di mana mereka boleh mengetahui rancangan apa yang ditawarkan terlebih dahulu sebelum berlepas, dan menandakannya sebagai kegemaran. Apabila terbang, dengan log masuk akaun bersesuaian, kesemua pilihan tersebut dapat dimainkan.
Mungkin ciri-ciri ini dapat dibangunkan pada iterasi kemas kini sistem hiburan Malaysia Airlines yang akan datang, dan mungkin bagi syarikat penerbangan yang lain, turut boleh memikirkan solusi yang sama, seiring perkembangan teknologi yang semakin hebat.