Salah satu komponen dalam peranti-peranti elektronik yang menghadapi kesukaran untuk dinaiktarafkan ialah bateri. Perkembangan teknologi bateri litium-ion dilihat hadir dengan cara-cara untuk mendapatkan jangka-masa yang lebih cekap, dan terkini, satu penyelidikan telah diperlihatkan yang dilihat boleh meningkatkan lagi kecekapan tersebut.
Sekumpulan penyelidik dari Dalhouse University di Kanada yang diketuai oleh Anu Adamson telah mengeluarkan laporan penyelidikan yang menyatakan bahawa menukar pita PET (polyethylene terephthalate) kepada pita PP (polypropylene) untuk mengikat sel-sel litium-ion dilihat dapat mengurangkan nyahcas tidak aktif bateri tersebut sebanyak 70 peratus, dan meningkatkan jangkahayat penggunaan bateri itu sendiri sebanyak 10 peratus.

Menurut Adamson, kedua-dua pita ini mempunyai ketahanan yang sama untuk memastikan bateri-bateri litium-ion ini untuk berfungsi dengan baik apabila digunakan pada mulanya. Perbezaan dapat dilihat apabila pita PET melalui proses nyah-polimer untuk menjadi dimethyl terephthalate, yang dilihat akan menyebabkan isu nyahcas menjadi lebih teruk.
Penyelidikan tersebut mendapati bahawa penggunaan pita PP mengurangkan isu nyahcas ini dengan mendadak, dan tidak menghadapi isu nyah-polimer yang dihadapi oleh pita PET.
Malah, Adamson mengatakan bahawa kos pita PET dan PP adalah sama, jadi syarikat-syarikat pembuat bateri peranti tidak akan menghadapi isu untuk menukar pita PET kepada pita PP untuk bateri pelbagai jenis peranti elektronik dalam masa terdekat.
- Nature melalui Tom’s Hardware