Carian
Cip Intel Meteor Lake Tidak Akan Ditawarkan Secara Kendiri Untuk Desktop
September 29, 2023 Nazrin

Beberapa hari lalu kami ada melaporkan bahawa cip pemprosesan Intel Meteor Lake, yang asalnya dilancarkan untuk peranti berbentuk komputer riba juga akan ditawarkan untuk komputer-komputer desktop.

Intel baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa walaupun ia benar bahawa Intel Meteor Lake akan ditawarkan untuk komputer desktop, ia tidak bermakna bahawa mereka akan membuat satu siri CPU khusus untuk komputer kelas tersebut.

Mereka menerangkan bahawa cip Meteor Lake akan ditawarkan dalam pelbagai jenis produk kelas desktop, seperti komputer padat dan komputer desktop AIO. Secara ringkasnya, ya, ia akan hadir untuk komputer dengan rekaan desktop, tetapi ia tidak akan ditawarkan atau dijual seperti pilihan CPU Intel yang biasa.

Penggunaan cip pemprosesan komputer riba dalam rekabentuk komputer desktop bukanlah sesuatu yang baru, tetapi percubaan-percubaan sebelum ini dilihat kurang berjaya kerana prestasinya yang tidak dapat menampung keperluan prestasi sebuah komputer desktop.

Walaubagaimanapun, kemajuan pembangunan teknologi CPU dilihat sangat pesat dalam beberapa tahun ini, dan ia tidak mengejutkan sekiranya Intel akhirnya berjaya dalam menggunakan cip Meteor Lake didalam komputer AIO yang boleh digunakan untuk sekurang-kurangnya melakukan tugas seharian di pejabat ataupun aktiviti-aktiviti riadah di rumah tanpa perlu risau mengenai masalah lengah masa dan prestasi.

Komen