Sewaktu acara pembukaan pertandingan e-sukan Predator League Asia Pacific 2024 yang berlaku pagi ini, Acer Malaysia turut memperlihatkan dua buah paparan skrin gaming yang baru diperkenalkan untuk pasaran tempatan, iaitu Predator X27U dan juga Predator CG48 4K OLED.
Bermula dengan Predator X27U, paparan skrin ini menggunakan panel OLED bersaiz 26.5 inci dengan resolusi WQHD (2560×1440) dan kadar segar semula 240Hz yang sangat pantas sekali, sesuai untuk mereka yang bermain permainan komputer dalam genre FPS seperti Counter Strike, Call of Duty, Valorant dan sebagainya.
Paparan ini juga hadir dengan kejtuan olahan warna dengan Delta < 1, hadir dengan nilai kecerahan 1000 nit dan juga menyokong teknologi HDR10 dan juga AMD FreeSync Premium. Rekaan tapak paparan skrin ini juga sangat teguh, dan mudah diubahsuai untuk kedudukan yang lebih ergonomik.
Paparan skrin ini juga hadir dengan suis KVM terbina yang membolehkan pengguna untuk menukar input komputer yang digunakan, sekiranya pengguna mempunyai dua komputer yang disambungkan ke paparan skrin yang sama.
Lebih menarik lagi, ia juga hadir dengan palam USB Type-C dengan sokongan pengecasan 90W yang membolehkan anda untuk mengecas komputer riba anda sambil digunakan dengan menggunakan satu kabel sahaja apabila ia disambungkan ke paparan Predator X27U ini.
Beralih pula ke paparan skrin Predator CG48 4K OLED, ini merupakan paparan skrin BFGD (Big Format Gaming Display) yang diperkenalkan oleh Acer Malaysia untuk pasaran tempatan, dan ia merupakan sebuah paparan skrin OLED bersaiz 48 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 138Hz.
Paparan ini juga mampu mengolah 98.5 peratus gamut warna DCI-P3 dan juga menyokong teknologi paparan seperti HDR10 dan juga AMD FreeSync Premium yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai jenis tujuan riadah.
Walaupun ia boleh dipadankan bersama sebuah komputer gaming berkuasa, paparan Predator CG48 4K OLED ini sesuai digunakan bersama konsol Sony PlayStation 5 ataupun Xbox Series X kerana sokongan untuk Variable Refresh Rate pada paparan ini yang sangat bermanfaat untuk konsol-konsol permainan khususnya.
Dari segi pilihan palam, Predator CG48 4K OLED ini juga hadir dengan pilihan satu palam HDMI 2.1, tiga palam HDMI 2.0, satu palam DisplayPort 1.4, satu palam USB Type-C dengan pengecasan PD 65W dan satu hub USB 3.2 Type-A dengan empat palam USB terbina.
Acer Malaysia mengatakan bahawa Predator X27U dan Predator CG48 4K ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM3999 (Predator X27U dan RM5999 (Predator CG48 4K). Bagi mereka yang melawat acara Predator League APAC di Noizucon pada hujung minggu ini (29 September – 1 Oktober 2023) boleh membeli paparan-paparan gaming ini dengan harga diskaun RM3599 dan RM5399.