Carian
Ulasan Amazfit Cheetah – Tahan Lasak Sesuai Aktiviti Luar
October 5, 2023 Amy Maizuraa

Terdapat pelbagai pilihan peranti boleh pakai Amazfit ditawarkan di Malaysia. Paling terkini mereka telah memperkenalkan siri Amazfit Cheetah yang memfokuskan terhadap sukan olahraga. Di sini ia juga menggabungkan rekaan agresif yang mirip jam tangan tahan lasak, kemudiannya dibantu lagi dengan ketahanan bateri yang semakin baik. Adakah pengenalan ini mampu memikat hati pengguna seterusnya menjadikannya antara jam tangan yang baik di pasaran sekarang? Sila baca ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut.


Spesifikasi Dan Rekaan

Amazfit Cheetah
JenisJam Tangan Pintar Asas
Paparan1.39″ AMOLED (545 X 454 piksel), 60Hz, 326PPI
Pemproses
RAM
Muatan Dalaman
Bateri440mAh + Dermaga khusus
14 hari dengan penggunaan normal
7 hari dengan penggunaan berat
SIM / TelefoniTiada
SensorSensor kadar jantung, oksigen darah, pecutan, giroskop,
geomagnetik, atmosfera, cahaya ambien
NFCTiada
Infra MerahTiada
Tahap Ketahanan5ATM
Diameter47 x 47 x 11.8mm
WarnaSpeedster Gray 
Harga JualanRM999

Pada awalnya saya berpendapat bahawa jam tangan ini tidak sesuai digayakan oleh seorang wanita, mahupun digunakan sewaktu bersantai. Pernah satu ketika saya menerima teguran yang mengatakan jam tangan ingin terlalu besar untuk dipakai.

Hal ini disebabkan oleh gabungan kemasan agak agresif yang dilihat lebih mesra atlet untuk kegunaan bersukan sepenuhnya. Seterusnya menimbulkan kesukaran untuk saya suai padan jam tangan ini dengan pakaian khususnya apabila dikaitkan dengan gaya feminin. Sebaliknya lebih sesuai digayakan dengan pakaian berkonsep santai seperti padanan t-shirt atau kemeja bersama seluar.

Namun begitu saya tidak pula meletakkan atau menganggap isu tersebut perlu diutamakan kerana tumpuan asal jam tangan ini sendiri sememangnya pada aktiviti bersukan khususnya larian. Malahan penggunaan nama Cheetah itu sendiri juga sudah memperincikan tujuan utama tersebut secara jelas.

Jika ada komen negatif pun mungkin pada tali silikon putih yang digunakan kerana amat mudah terdedah kepada kotoran untuk penggunaan jangka masa panjang. Unit ulasan ini menggunakan tali sejenis fluoroelastomer bersama cangkuk standard, yang boleh ditukar dengan mudah sekiranya perlu.

Baiklah ia mungkin ‘kalah’ untuk aspek kemasan tetapi sebenarnya masih mampu memberi pengalaman penggunaan yang selesa. Saya katakan sebegini kerana langsung tidak berhadapan dengan isu keselesaan untuk penggunaan lebih sebulan, kecuali sewaktu dibawa tidur.

Reka bentuk yang praktikal juga membuatkannya selesa dengan penggunaan skrin sebesar 1.39″ beresolusi 545 X 454 piksel. Saiz ini boleh diklasifikasikan tidak terlalu kecil atau besar, malahan sesuai dengan lebar pergelangan tangan kebanyakan pengguna. Ia juga ringan dan tidak terlalu berat sehingga menyebabkan tersangkut pada mana-mana bahagian sewaktu digunakan.

Bezel sederhana yang ditutupi oleh kerangka sekeliling pula membuatkan setiap butiran dapat dilihat dan dibaca dengan mudah, melainkan anda mengaktifkan mod teater secara tidak sengaja. Selain daripada itu ciri Always On Display turut disediakan memandangkan skrin daripada keluarga AMOLED. Namun seperti biasa anda sudah semestinya perlu berkompromi dengan ketahanan bateri yang boleh menjadi lebih pendek berbanding biasa.

Lebih pentingnya lagi apabila ia juga melepasi penarafan kalis air 5ATM yang bermakna jam tangan ini boleh tahan tekanan air dengan kedalaman 50 meter. Secara umumnya boleh digunakan untuk mandi dan berenang di kolam, tetapi tidak disarankan untuk sukan air yang ekstrem seperti menyelam. Jam tangan ini juga mempunyai dua butang terbina termasuklah tombol berputar yang boleh menimbulkan impak positif atau negatif bergantung pada sudut penggunaan masing-masing.

Ianya positif kerana lebih mudah digunakan, apalagi ketika jari berpeluh selepas berlari. Dari sudut negatif, ia mengambil sedikit masa untuk dipelajari bagi mereka yang belum terbiasa dengan penggunaan sebegini. Dalam masa sama kebolehan skrin sesentuh juga disertakan yang secara peribadinya lebih memudahkan penggunaan termasuklah memilih menu dan menatal fungsi terbina. Kemudiannya am tangan ini hanya hadir dalam versi bluetooth untuk tambatan pada peranti pintar tanpa sokongan rangkaian selular.


Antaramuka Dan Aplikasi Sambungan

Amazfit Cheetah mampu menawarkan pelbagai ciri kesihatan dan kecergasan terbina yang berguna buat kebanyakan pengguna. Ianya bermula dengan kebolehan menjejak langkah harian, pola waktu tidur, tahap oksigen dalam darah sehinggalah kadar degupan jantung secara berterusan. Terdapat juga lebih 150 mod dan fungsi sukan terbina disediakan yang turut ditambah dengan ciri Zepp Couch AI untuk mencadangkan latihan berdasarkan tahap kecergasan.

Seterusnya proses navigasi juga mudah dengan hanya menatal dan menyentuh sepenuhnya pada skrin jam tangan. Tatalan ke atas memberi akses kepada notifikasi yang diterima daripada telefon pintar ditambat. Kemudian tatalan ke kiri akan memberi akses ke bacaan nadi, kiraan tapak dan aplikasi terpasang. Tatalan ke bawah pula membuka skrin tetapan pantas termasuk Always-On-Display, cuaca, kawalan audio dan sebagainya. Menekan dengan lama pada butang fizikal pula membolehkan sejumlah mod sukan terbina digunakan.

Amazfit Cheetah menggunakan Zepp OS 2.0 dan tiada perubahan antaramuka yang terlalu drastik dilihat. Konsep digunakan masih kemas dan mesra pengguna yang bermakna mudah digunakan tanpa mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Melaluinya saya juga boleh memilih pelbagai jenis muka jam menarik, yang setiap satu daripadanya mempunyai fokus masing-masing. Amazfit juga menyediakan lebih banyak antaramuka lain yang dapat dimuat turun sesuai selera dan keinginan.

Justeru penggunaan bersama aplikasi Zepp amatlah diperlukan untuk keperluan tersebut dan perisian yang lancar. Ia boleh dimuat turun secara percuma di AppStore, Playstore dan Huawei AppGallery. Namun begitu saya hanya mengujinya pada peranti iPhone dan proses sambungan mengambil beberapa minit dengan langkah mudah termasuklah imbas kod QR yang disediakan.

Aplikasi dilihat amat mudah digunakan dengan ikon yang tersusun dan ceria. Data disediakan juga cukup menyeluruh yang memudahkan saya untuk membuat semakan serta rujukan. Namun seperti biasa tiada kebolehan sokonga aplikasi pihak ketiga diberikan sebalik Amazfit menyediakan kedai aplikasi khusus bagi tujuan memasang lebih banyak aplikasi.


Pengalaman Penggunaan

Di atas kertas, ciri dan fungsi terbina yang diberikan boleh dianggap menarik pada titik harga sebegini. Secara umumnya jam tangan ini cukup mudah digunakan yang mana saya hanya perlu menatal untuk memilih ciri dan fungsi yang dimahukan. Saya juga berpendapat paparan adalah terang dan jelas meskipun digunakan di kawasan terbuka. Pada masa sama turut boleh dilaras secara automatik mengikut cahaya persekitaran menerusi tetapan khusus. Saya juga boleh mengesahkan bahawa skrin agak responsif dengan sela masa yang minima bersama penghasilan semula warna juga bermaya.

Seterusnya jam tangan juga boleh menjejak senaman secara automatik yang dianggap menarik buat mereka yang sering terlupa untuk menetapkannya terlebih dahulu. Pengguna turut diberi beberapa pilihan sama ada hendak menunggu 10 saat atau memulakan aktiviti dengan serta merta, atau sebagai pilihannya lagi turut boleh dibatalkan sekiranya mahu.

Namun begitu kemampuan menjejak ini dilihat tidak konsisten yang kadangkala berlakunya ralat secara rawak. Pernah suatu ketika saya sedang duduk di dalam kereta selepas pulang dari pejabat, dan mengejutkan apabila jam tangan ini mengesan saya sedang melakukan senaman luar. Ini bukan kali pertama saya mengalaminya malahan ralat secara rawak turut pernah belaku sewaktu membuat ulasan untuk GTR mini sebelum ini.

Kemudian kemampuan bacaan data terkumpul pula baik-baik sahaja namun tidak sepenuhnya tepat. Khususnya kegagalan jam tangan ini mengesan gangguan waktu tidur sebaiknya yang mana tempoh masa terjaga dinyatakan sama sekali lebih pendek berbanding masa nyata.

Pun begitu saya masih berpuas hati dengan ciri penjejakan tidurnya yang berfungsi dengan baik bersama anggaran kualiti tidur yang memadai. Butiran diberikan cukup mendalam yang secara tidak langsung amat membantu saya memahami corak tidur. Malahan turut boleh mencari cara untuk mendapatkan kualiti tidur lebih baik pada masa mendatang.

Terdapat juga sistem penilaian kesihatan PAI (Personal Activity Intelligence) terbina yang sesuai dijadikan sebagai jurulatih terbina untuk lebih berdisiplin. Ia berfungsi cukup baik dengan aplikasi Zepp yang kemudiannya memantau data semasa saya secara menyeluruh termasuklah tempoh aktiviti dan ditukar menjadi skor. Perlu dikatakan bahawa saya bukanlah seorang yang sangat mengambil kisah tentang sokongan pembantu suara pada seutas jam tangan, tetapi bagi yang memerlukannya Amazfit Cheetah ada menyokong ciri tersebut.

Pujian turut diberikan pada kemampuan GPS mengunci lokasi dengan memadai sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan lebih baik. Saya juga mendapati tiada masalah sambungan mudah terputus daripada peranti pintar yang membolehkan notifikasi teks dan panggilan masuk diterima dengan konsisten. Namun tiada kebolehan membalas teks atau menjawab panggilan terus daripadanya.

Ia logik memandangkan jam tangan ini tidak diberikan mikrofon dan pembesar suara terbina. Tetapi masih terdapat ralat yang berlaku apabila menekan ikon telefon pada jam tangan yang mengakibatkan panggilan masuk semasa terbatal tanpa sengaja. Tidak dapat dipastikan apa yang menyebabkan ralat itu berlaku. Justeru cara terbaik adalah dengan terus menjawab daripada telefon pintar yang disambung sahaja.


Ketahanan Bateri

Amazfit Cheetah mempunyai bateri yang diiklankan mampu bertahan sehingga 14 hari dalam mod biasa, kemudiannya meningkat sehingga 45 hari dalam mod penjimatan bateri. Pengecasan penuh 100% dilihat mengambil masa hampir seminggu untuk berkurang ke tahap 30%.

Ia melibatkan penggunaan sepenuhnya dengan sambungan pada peranti pintar dengan beberapa sensor yang diaktifkan secara kerap. Selain itu tahap kecerahan juga tertinggi dengan ciri Always On Display yang turut diaktifkan untuk beberapa keadaan. Ketahanan masa ini masih logik memandangkan Amazfit sendiri mengiklankannya sehingga 7 hari untuk kegunaan yang kerap.

Apabila kehabisan bateri Amazfit Cheetah ini boleh dicas semula dalam masa kira-kira satu jam untuk pengecasan sehingga 80%. Pengecas yang diberikan adalah dari jenis tersendiri dari jenis angkup yang diperbuat daripada plastik. Rungutan hanyalah pengecas ini menawarkan wayar yang amatlah pendek.


Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Amazfit Cheetah di Malaysia.

  • 1 X Amazfit Cheetah.
  • 1 X Kabel pengecas USB-A ke dermaga khusus.
  • 1 X Manual pengguna.
  • 1 X Notis Waranti

Kesimpulan

Di atas kertas Amazfit Cheetah memberi tumpuan kepada olahraga. Secara amnya boleh dianggap logik memandangkan gabungan fungsi penjejakan kesihatan dan keupayaan sukan diberikan menjadikannya pilihan yang menarik buat individu yang mencari seutas jam tangan serba boleh. Tambahan pula ia juga mempunyai paparan yang cemerlang, hayat bateri cukup baik dan kebolehan menjejak yang kebanyakannya berfungsi dengan baik.

Namun begitu penekanan juga perlu diberikan terhadap masalah perkakasan dan perisian yang masih berlaku, misalnya seperti kebolehan menjejak dan tindak balas pembantu suara yang tidak konsisten dirasakan perlu ditambahbaik di masa hadapan. Amazfit Cheetah dijual pada RM999, namun seandainya anda mempunyai bajet lebih rasanya bolehlah cuba dapatkan variasi pro dengan harga RM1,499 untuk kelebihan pada sokongan panggilan menerusi bluetooth terbina.


Kelebihan
  • Rekaan yang selesa dan bahan binaan yang baik.
  • Sistem navigasi amat mesra pengguna.
  • Pelbagai fungsi asas berjalan dengan cukup lancar.
  • Hayat bateri yang baik.
Kekurangan
  • Tidak sokongan aplikasi pihak ketiga.
  • Kemampuan menjejak tidak konsisten.
  • Tiada pengecasan nirwayar.
  • Tiada kebolehan menjawab panggilan masuk.
Komen