Carian
Apple Mengesahkan Masalah Pemanasan Pada iPhone 15 – Bakal Menawarkan Kemaskini Perisian
October 1, 2023 Aman

Sejak pelancaran, sejumlah pengguna iPhone 15 dan juga iPhone 15 Pro Max sedia menyatakan mengalami masalah pemanasan, dimana peranti mereka menjadi lebih panas daripada biasa apabila digunakan. Terbaru, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Apple kepada Forbes, mereka mengesahkan perkara berkenaan dan menyatakan bakal menyediakan kemaskini perisian iOS untuk mengatasinya dalam masa terdekat.

Apple menekankan peranti baharu akan mengalami isu pemanasan pada peringkat awal disebabkan operasinya yang lebih tinggi dalam mengindeks kembali pelbagai kandungan pada peranti baharu. 

Namun, pada iOS 17 baharu, Apple telah mengenal-pasti pepijat yang membawa kepada pemanasan yang lebih tinggi. Apple dijangka menawarkan kemaskini untuk mengatasi pepijat ini dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, beberapa aplikasi pihak ketiga juga dilihat membuatkan sistem bekerja lebih tinggi, dan membawa kepada masalah pemanasan ini. Apple menyatakan sedang bekerjasama dengan pembangun aplikasi ini dalam mengatasi masalah dan memperkenalkan kemaskini aplikasi.

Bersama-sama dengan ini juga, Apple menekankan masalah ini bukan disebabkan oleh rekaan titanium pada iPhone yang baharu, serta menyatakan tiada impak jangka masa panjang untuk iPhone disebabkan hal ini. Buat masa ini, tiada masa diberikan untuk pengenalan kemaskini iOS yang akan mengatasi masalah pemanasan ini.

Komen