Tesla Malaysia hari ini telah membuka pusat pelanggan Tesla Centre mereka di Cyberjaya secara rasmi pada hari ini, sebagai sebuah pusat untuk para pelanggan melihat dan menguji kemampuan kenderaan elektrik yang ditawarkan buat masa ini, iaitu Tesla Model Y dan juga Tesla Model 3 ‘Highland’ yang terbaru.
Walaupun Tesla Centre ini sudah dibuka secara rasmi, ia masih lagi berada dalam fasa pertama sebagai sebuah pusat pengalaman dan jualan kenderaan Tesla rasmi di Malaysia. Dalam fasa kedua, ia juga akan menjadi lokasi penghantaran dan penerimaan kenderaan, pusat servis dan sokongan pasca-jualan.
Ia dijangka bahawa dengan pembukaan Tesla Centre ini, ia juga akan menjadi lokasi dimana para pelanggan yang sudahpun menempah Tesla Model 3 ‘Highland’ dan Tesla Model Y akan boleh mengambil kenderaan mereka apabila ia sedia dipasarkan kelak.
Pembukaan Tesla Centre ini dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, yang mengatakan bahawa kehadiran Tesla di pasaran tempatan akan hadir dengan pelbagai jenis kebaikan, seperti jumlah pekerja profesional bergaji tinggi di pasaran tempatan, dan juga pengurangan pencemaran udara dimana kebergantungan terhadap kenderaan ICE berkurangan.
Tesla Centre Malaysia terletak di Cyberview 23A, Persiaran APEC, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Selangor, dan dibuka setiap hari, dari 9 pagi hingga 6 petang pada hari minggu, dan dari 10 pagi sehingga 7 petang pada hujung minggu.