Google hari ini mengumumkan sebuah kategori baharu untuk Chromebook, dinamakan sebagai Chromebook Plus. Melaluinya, Google menyasarkan kepada sejumlah komputer riba dengan fokus terhadap produktiviti, yang hadir dengan prestasi lebih tinggi, memori 8GB RAM dan lebih tinggi, storan 128GB dan lebih tinggi, serta dilengkapi dengan kamera 1080p+.
Google turut menetapkan komputer dengan pensijilan Chromebook Plus akan hadir dengan cip sekurang-kurangnya Intel Core i3 Gen-12 atau AMD Ryzen3 700 – dan lebih tinggi. Setiap komputer riba berkenaan juga perlu mempunyai paparan IPS HD penuh atau lebih baik.
Dengan kuasa pemprosesan tinggi juga, pengguna boleh menggunakan sejumlah ciri-ciri dikuasakan kecerdasan buatan, termasuk pada Adobe Photoshop dan aplikasi lain.
Seperti Chromebook lain juga, pengguna turut boleh menikmati ciri-ciri Google hadir terbina, termasuk sokongan Magic Eraser pada Google Photos, sokongan sync automatik Google Drive, kemudahan panggilan video Google Meet, dan sebagainya.
Sejumlah pengeluar akan mula menawarkan komputer riba dibawah kategori Chromebook Plus ini, termasuk Acer, Asus, HP dan juga Lenovo.