Elon Musk sedia menyatakan ingin mengubah aplikasi X menjadi sebuah “super-app” yang mengintegrasikan pelbagai perkara. Antara yang dijanjikan adalah bukan sahaja sokongan media sosial, tetapi juga kebolehan melakukan panggilan suara atau video, ciri pembayaran dan sebagainya.
Terbaru, Elon Musk juga turut menguji kebolehan penstriman permainan melalui platform X – sekaligus akan turut menjadikan X sebagai alternatif untuk Twitch dan YouTube sekiranya pengguna ingin strim kandungan. Ciri ini disasarkan untuk pengguna X Premium, dan membolehkan penstriman dihubungkan melalui integrasi OBS.
Disamping itu, X juga telah memetarai perjanjian dengan Paris Hilton, untuk penerbitan kandungan khusus yang mengintegrasikan sokongan jualan langsung. Di Malaysia, antara platform yang popular untuk tujuan jualan langsung adalah termasuk TikTok Shop dan juga Shopee Live.
Berkemungkinan besar, ciri jualan langsung akan memfokuskan pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum diperkenalkan secara global. Apa pun, sama-sama kita nantikan perkembangan ciri-ciri baharu pada X selepas ini.