Pete Lau baru-baru ini telah mengesahkan yang OnePlus Open dan Oppo Find N3 adalah peranti yang sama. Versi awal peranti ini telah pun diperlihatkan secara rasmi melalui temuramah bersama Lewis Hilsenteger, hos saluran YouTube popular, Unbox Therapy.
Seperti beberapa telefon boleh-lipat baharu, Find N2, Samsung Galaxy Z Fold5 dan Flip5 – OnePlus Open turut menggunakan rekaan engsel yang boleh menutup rapat peranti tanpa ada lohong. Pete Lau turut menyatakan engsel pada OnePlus Open mempunyai 600 paten didaftarkan dan menggunakan kurang 31 komponen berbanding Oppo Find N2.
Lebih menarik, video Unbox Therapy ini turut memperlihatkan semua sudut peranti dari setiap sisi sehingga skrin, kecuali bonggol kamera. Rekaan peranti kelihatan lebih kurang sama dengan imej pengolokan yang tertiris, cuma versi sebenar kelihatan lebih rata dan nampak premium.
Butang lungsur ikonik, pada bahagian tepi peranti OnePlus turut dikekalkan. Skrin dalam kelihatan mempunyai bezel yang cukup nipis, dan begitu juga dengan keseluruhan dimensi peranti. Bonggol kamera gergasi sudah boleh diagak, ia jelas sekali sama dengan imej yang tertiris cuma di dalam video ini ia dilindungi dengan kotak kecil.
OnePlus Open dijangka akan dilancarkan pada 19 Oktober untuk pasaran global. Buat masa ini masih tidak pasti bila peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia. Sama-sama kita nantikan perkembangan dan pelancaran rasmi telefon pintar ini.