Carian
Apple Tidak Lagi Memberi Khidmat Sokongan Pelanggan Melalui Media Sosial Seperti X
October 3, 2023 Fahim Zahar

Apple kini nampaknya tidak lagi menawarkan khidmat bantuan pelanggan melalui platform sosial seperti X atau juga YouTube. Perkara ini dilaporkan bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2023, di mana tiada lagi pekerja Apple yang akan membantu pengguna yang mengalami masalah melalui platform media sosial.

Menurut laporan MacRumors, sekitar 150 pekerja Apple di bahagian media sosial dan juga forum rasmi mereka telah diberhentikan. Profil @AppleSupport di X kini menyatakan ia adalah tempat untuk pengguna menerima tips dan tutorial berkenaan produk Apple. Sementara apabila mesej dihantar, bot akan membalas untuk pengguna merujuk ke laman web Apple.

Malah di YouTube, Apple turut tidak lagi membalas komen-komen pengguna yang bermasalah. Laman forum mereka iaitu Apple Support Community turut hanya akan aktif untuk sementara waktu sebelum dihentikan sepenuhnya. Selepas ini, pengguna hanya boleh dapatkan bantuan melalui laman web Apple atau melalui aplikasi Apple Support di peranti Apple untuk menghubungi juruteknik mereka secara terus.

Komen