Carian
ASUS Memperkenalkan Sejumlah Kemaskini Baru Untuk Konsol ROG Ally
October 3, 2023 Nazrin

Konsol permainan ASUS ROG Ally dilihat sebagai salah satu daripada konsol permainan PC yang paling laris di pasaran sekarang. Kemampuannya untuk menyokong sistem operasi Windows 11 dan pelbagai gudang permainan komputer bersama dengan sokongan peranti yang meluas menjadikannya pilihan popular di kalangan gamer.

Terkini, ASUS nampaknya telah memperkenalkan sejumlah lagi kemaskini baru untuk konsol permainan tersebut termasuklah kemaskini BIOS dan juga untuk perisian Armory Crate SE yang merumahkan sejumlah fungsi penting untuk konsol tersebut.

Bermula dengan kemaskini BIOS, ASUS mengatakan bahawa kemaskini BIOS baru akan hadir pada 12 Oktober kelak, dan dinamakan kemaskini BIOS 330. Kemaskini ini diperkenalkan untuk tujuan penstabilan keseluruhan konsol ini dan akan diperkenalkan melalui perisian MyASUS.

Untuk kemaskini Armory Crate SE pula, kemaskini ACSE v1.3.15 dan MicroController Unit akan memperkenalkan ciri kalibrasi alat kawalan dan picu peranti, bersama-sama dengan peluncur Anti Deadzone yang dilihat memastikan bahawa alat kawalan dan butang picu tidak menghadapi masalah tidak dapat mengesan input pengguna.

Menurut ASUS, fungsi-fungsi ini akan hadir melalui menu Control Mode dan Game Profile, dimana kemaskini MicroController Unit ini boleh dikemaskini melalui Armory Crate dan tidak perlu melalui MyASUS.

Kemaskini lain yang diperkenalkan termasuklah pembaikan dimana lengah masa menggunakan papan kekunci parti ketiga dikurangkan, dan juga isu dimana sambungan kad grafik XG Mobile bersama dengan ASUS ROG Ally akan terpotong dengan sendiri.

Kemaskini ACSE v1.3.15 sudahpun diperkenalkan, manakala kemaskini BIOS 330 akan diperkenalkan pada 12 Oktober kelak.

Komen