Carian
Pra-tempahan Lenovo Legion Go Sudah Dibuka Di Amerika Syarikat – Harga Permulaan $699
October 3, 2023 Nazrin

Pada bulan lepas, Lenovo telah memperkenalkan konsol permainan komputer mereka sendiri, yang dinamakan Lenovo Legion Go. Ia hadir dengan rekaan peranti yang menyerupai gabungan ASUS ROG Ally dan juga Nintendo Switch, dengan memperkenalkan gimiknya tersendiri.

Lenovo Legion Go dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Z1 Extreme sama yang digunakan didalam konsol ASUS ROG Ally, dengan penawaran memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB. Untuk menambahkan storan pada peranti ini, ia juga dilengkapi dengan pembaca kad MicroSD yang boleh menyokong jumlah storan sehingga 2TB.

Dari segi paparan, Legion Go merumahkan paparan skrin IPS Lenovo PureSight dengan resolusi QHD+ bersaiz 8.8 inci dengan kadar segar semula sepantas 144Hz. Paparan ini juga mempunyai nilai kecerahan 500 nit dan boleh mengolah 97 peratus daripada gamut warna DCI-P3.

Keunikan Lenovo Legion Go ini tampil pada kebolehan alat pengawal Legion TrueStrike sisinya untuk ditanggalkan dan digunakan secara nirwayar, sama seperti apa yang ditawarkan pada konsol Nintendo Switch. Dalam pada itu, bahagian pengawal analognya juga menggunakan suis Hall Effect yang mengurangkan isu “joystick drift” dan juga meningkatkan ketepatan alat kawalan berbanding dengan penggunaan pengawal analog yang biasa.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa pra-tempahan untuk konsol Legion Go ini sudahpun dibuka di Amerika Syarikat melalui laman web Lenovo sendiri dan juga gudang jualan atas-talian Best Buy. Setakat ini, ia dilihat bahawa Lenovo Legion Go akan tampil dengan dua pilihan storan, iaitu SSD 512GB dan juga 1TB yang dijual pada harga $699 (~RM3306) dan $749 (~RM3540) dan akan mula dijual secara rasmi sekitar bulan November 2023 kelak.

Setakat ini, ia masih belum disahkan lagi bilakah Lenovo Legion Go ini akan ditawarkan di rantau Asia, mahupun pasaran tempatan, tetapi jangkaan kami ialah ia akan tiba tidak lama selepas jualan rasmi di Amerika Syarikat.

Komen