Nova 11 SE telah ditemui tersenarai menerusi pangkalan data TEENA sekaligus mendedahkan beberapa butiran mengenai peranti pintar akan datang Huawei. Melaluinya ia turut boleh menjadi tambahan baharu untuk peranti di bawah siri Huawei Nova, selain berpotensi dipasarkan dengan harga mampu milik seperti beberapa generasi sebelum ini.
Dari aspek rekaan Huawei Nova 11 SE akan mempunyai dua bonggol kamera dibelakang dengan sistem tri-kamera. Panel belakang ini juga dilengkapi LED Flash dan kemasan yang memiliki tekstur khas Nova. Panel hadapan dipercayai sejenis rata yang juga dilengkapi lubang kecil untuk kamera swafoto. Skrin yang digunakan pula mungkin sejenis OLED dengan saiz 6.67-inci dan beresolusi FHD+.
Terdapat sumber mendedahkan peranti mungkin sekadar menyokong 4G dan diprapasang sistem operasi HarmonyOS. Cip Snapdragon 680 dipercayai digunakan melaluinya, selain turut diberi pilihan memori 8GB RAM dan storan 256GB/512GB. Turut disertakan ialah kamera utama 108MP + 8MP + 2MP, kamera swafoto 16MP dan bateri sebesar 4,500mAh.
Tiada butiran mengenai tarikh pelancaran khusus yang diketahui buat masa ini. Namun ia diyakini mampu menjadi tambahan baharu menarik yang meneruskan legasi siri tersebut dengan reka bentuk yang elegan dan keupayaan kamera baik.