Samsung hari ini telah memperkenalkan telefon pintar baharu dibawah “Fan Edition” mereka, iaitu Samsung Galaxy S23 FE. Ia meneruskan pelbagai elemen yang hadir pada siri Galaxy S, termasuk rekaan premium dan juga penggunaan bahan kitar semula dalam menjadikannya lebih tahan dan mesra alam.
Samsung Galaxy S23 FE hadir dengan skrin Dynamic AMOLED 2x bersaiz 6.4-inci FHD+, dan menyokong kadar segar semula 120Hz, menggunakan cip binaan 4nm (Exynos 2200 atau Snapdragon 8 Gen 1), memori 8GB RAM dan storan sehingga 256GB.
Ia menggunakan gabungan tiga sensor pada bahagian belakang dengan sensor utama 50-megapixel, serta dipadankan dengan sensor 12MP ultra-lebar dan 8MP telefoto. Untuk rakaman swafoto, Samsung menggunakan sensor kamera 10MP dihadapan.
Galaxy S23 FE dijana bateri 4500mAh dengan sokongan pengecacsan 25W. Ia turut menyokong pengecasan nirwayar. Ciri seperti sokongan kalis air IP68 disertakan, selain sokongan WiFi 6E dan juga Bluetooth 5.3. Samsung menggunakan Android 13 bersama dengannya.
Buat masa ini, harga jualan tempatan tidak diumumkan lagi. Di Amerika Syarikat, ia ditawarkan pada harga $599, iaitu sekitar RM2800.