Carian
Spesifikasi Penuh Paparan ROG SWIFT Pro PG248QP Diperlihatkan – 1080p, 540Hz, G-SYNC, DisplayHDR 400
October 4, 2023 Nazrin

ASUS telah memperkenalkan paparan skrin ROG SWIFT Pro PG248QP sewaktu acara Consumer Electronics Show di Las Vegas pada awal tahun ini, dan tidak banyak yang diketahui mengenai paparan ini selain ia mempunyai saiz 24.1 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 540Hz, yang menjadikannya sebuah paparan yang sangat sesuai untuk permainan dalam genre FPS dan juga MOBA seperti Counter-Strike, Valorant, League of Legends dan DOTA 2.

Terkini, melalui sebuah video, ASUS telah memperlihatkan spesifikasi penuh paparan skrin ini, dan ia cukup menarik sekali. Selain daripada saiz, resolusi dan kadar segar semula, ASUS nampaknya menggunakan sebuah panel TN unik yang dinamakan E-TN ataupun E-sports TN panel.

Keunikan E-TN ini pastinya hadir melalui sokongan untuk kadar segar semula sehingga 540Hz, masa pendam GTG (grey-to-grey) 0.2ms dan nilai kecerahan 400 nit yang membolehkannya menyokong teknologi paparan DisplayHDR400. Ia juga mampu mengolah 125 peratus gamut warna sRGB dengan Delta E<2 dan sudut pandangan 170 darjah dari kiri ke kanan.

Fungsi grafik NVIDIA G-SYNC dan Reflex Analyzer juga disertakan, tetapi satu fungsi yang pastinya dimahukan oleh para penggemar e-sukan ialah Ultra Low Motion Blur 2 (ULMB2) yang mengurangkan lagi kesan motion blur untuk grafik yang lebih tajam dan memudahkan lagi pemain untuk melihat dan bertindak menentang pihak lawan.

Dari segi palam, ROG SWIFT Pro PG248QP ini hadir dengan palam DisplayPort 1.4+ dengan teknologi Display Stream Compression, HDMI 2.0 dan hab USB 3.2. Paparan ini juga mempunyai palam audio 3.5mm audio, yang hadir dengan cip audio ESS Codec yang menyokong audio 32-bit untuk audio berkualiti tinggi dan masa pendam hampir sifar.

Buat masa ini, pihak ASUS masih belum lagi mengumumkan bilakah mereka akan menjual paparan skrin e-sukan ROG SWIFT Pro PG248QP ini.

Komen