Carian
Google Memperkenalkan Peraturan Baru Untuk Mengurangkan Kadar Penghantaran Spam
October 4, 2023 Nazrin

Spam merupakan masalah yang dilihat tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana pembekal perkhidmatan internet dimana ia merupakan salah satu vektor utama untuk serangan perisian hasad, dan juga memakan banyak storan digital kerana ia dihantar kepada berjuta-juta pengguna setiap hari.

Terkini, Google dilaporkan akan memperkenalkan peraturan baru untuk pihak-pihak yang mengeluarkan email secara besar-besaran ini untuk mengurangkan isu spam dan memastikan bahawa semua emel yang dihantar kepada pengguna adalah sesuatu yang dimahukan oleh pengguna.

Pertama, untuk kesemua penghantar emel yang menghantar lebih dari 5000 emel sehari, Google akan mewajibkan penggunaan butang menghentikan langganan didalam emel tersebut sekiranya pada mana-mana masa mereka tidak lagi mahu menerima emel tersebut.

Penghantar-penghantar emel ini juga perlu mengesahkan alamat emel mereka dan menunjukkan bukti bahawa mereka memiliki domain alamat mereka, dan ia bukanlah sebuah alamat tiruan. Dalam pada itu, GMail juga tidak akan menghantar emel daripada alamat yang didapati sebagai alamat emel spam oleh pengguna melalui ciri “Mark as spam”.

Google turut mengatakan bahawa Yahoo juga dilihat akan melakukan perubahan-perubahan ini untuk membasmi masalah spam, dan peraturan-peraturan baru ini dilihat akan diperkenalkan sekitar bulan Februari 2024 kelak.

Komen