Carian
Vivo V29 Pro Kini Rasmi Dengan Cip Dimensity 8200 Dan Pengecasan Pantas 80W
October 4, 2023 Amy Maizuraa

Vivo V29 Pro telah diumumkan secara rasmi sebagai tambahan baharu untuk peranti di bawah siri V. Sebahagian besar penawarannya adalah sama dengan V29, dan bezanya cuma pada cip pemprosesan yang digunakan.

Dari aspek rekaan Vivo V29 Pro mempunyai tiga kamera di belakang dengan ciri aura light. Ia amat sesuai digunakan untuk rakaman gambar malam dengan pancaran cahaya lebih cerah berbanding sebelum ini. Panel hadapan pula sejenis melengkung yang juga dilengkapi lubang kecil untuk kamera swafoto.

Skrin adalah sejenis AMOLED FHD+ sebesar 6.78-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 1300nits. Ini dipadankan pula dengan cip Dimensity 8200, memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB sebagai tunjang utama peranti.

Turut disertakan ialah kamera utama 50MP IMX766 + 8MP ultra lebar + 2MP kedalaman, yang juga dilengkapi sokongan OIS terbina. Lain-lain spesifikasi termasuklah bateri 4,600mAh, pengecasan 80W, bluetooth 5.3, pengimbas cap jari di skrin dan menjalankan FuntouchOS 13.

Peranti ini dijual di India dengan harga bermula INR 39,999 (~RM2,273) (8GB/256GB) dan INR 42,999 (12GB/256GB) (~RM2,443) dengan warna Himalayan Blue/Space Black. Tiada butiran mengenai ketersediaan di Malaysia yang diketahui buat masa ini.

Komen