TM hari ini secara rasminya mengumumkan pengenalan kemaskini pada penawaran produk jalur-lebar, Unifi. Di bawah kemaskini baharu ini, beberapa perkara diumumkan, termasuk permulaan penawaran pakej pada kelajuan 100Mbps dan pakej 30Mbps khas untuk Pakej Rahmah, selain penawaran pakej 1Gbps dan 2Gbps secara berasingan tanpa perlu melanggan pakej Unifi TV.
Penawaran Baharu Pakej Unifi – Bermula RM89 Sebulan Untuk 100Mbps

Dibawah penawaran baharu ini, kini pakej Unifi bermula pada kelajuan 100Mbps pada harga RM99 sebulan. Namun, untuk masa terhad, pihak TM menawarkan ia pada harga RM89 sebulan. Berikut merupakan penawaran pakej Unifi baharu, sehingga 2Gbps:
- 100Mbps – RM99 sebulan (RM89 sebulan untuk masa terhad)
- 300Mbps – RM139 sebulan
- 500Mbps – RM159 sebulan
- 1Gbps – RM289 sebulan
- 2Gbps – RM319 sebulan
Selain pakej 30Mbps, pakej 800Mbps juga tidak ditawarkan lagi dibawah pelan baharu ini. Walaupun begitu, TM mengatakan mereka akan kekal menawarkan Pakej Rahmah Unifi 30Mbps kepada komuniti B40, OKU, warga emas dan veteran, pada harga RM69 sebulan.
Dengan kemaskini pelan ini, TM sekaligus meningkatkan kadar kelajuan purata untuk pengguna di Malaysia berbanding pada masa kini.
Naik-Taraf Kelajuan Internet Untuk Pengguna Sedia Ada

Untuk para pelanggan Unifi sedia ada, sebagai ucapan terima kasih atas sokongan, TM menyatakan semua pelanggan sedia ada akan menerima naik-taraf kelajuan ke tahap seterusnya secara percuma.
Ini bermakna sekiranya sebelum ini anda menggunakan pakej 30Mbps, anda akan dinaik-taraf ke pakej 100Mbps. Begitu juga 100Mbps kepada 300Mbps, dan seterusnya.
Penaik-tarafan ini akan dilakukan secara berperingkat kepada semua pengguna. TM menyasarkan ia akan mengambil tempoh sehingga 3 bulan sebelum semua menerima naik-taraf kelajuan ini. Para pelanggan Unifi akan menerima notifikasi melalui medium komunikasi biasa (seperti SMS, emel dan sebagainya) apabila menerima penaik-tarafan kelajuan internet ini.
Berkas Unifi 100Mbps + Unifi Mobile Tanpa Had Untuk RM149 Sebulan

Bersama-sama kemaskini untuk pelan Unifi baharu ini, TM turut mengacah akan hadir dengan penawaran baharu Unifi Mobile tidak lama lagi.
Pada masa ini, berkas langganan Unifi 100Mbps + Unifi Mobile (4G / 5G tanpa had) bersama sebuah telefon pintar 5G percuma ditawarkan pada harga RM149 sebulan. Ini sekaligus akan membolehkan pengguna terus kekal berhubung bukan sahaja melalui talian jalur-lebar, tetapi juga ketika bergerak keluar rumah melalui rangkaian 5G.
——
Disamping ini semua, TM masih kekal menawarkan perkhidmatan pelanggan yang baik kepada pengguna, melalui aplikasi MyUnifi, dan menariknya adalah pelan jaminan perkhidmatan kembali-pulih dalam 24 jam atau diberikan rebat kewangan – yang tidak ditawarkan penyedia lain.
Bagi anda yang berminat dengan penawaran pelan baharu TM ini, boleh menyemak laman rasmi Unifi esok, 5 Oktober 2023, dan menikmati internet lebih pantas pada harga lebih kompetitif berbanding yang lain.
Jadi, bagi anda sendiri, apa kata anda berkenaan dengan penawaran pelan baharu TM Ini?