Carian
Shopee Perkenal “Instant Delivery” Di Lembah Klang – Terima Barang Dalam 2 Jam Selepas Pembelian
October 4, 2023 Aman

Shopee kini memperkenalkan ciri penghantaran segera, atau dinamakan “Instant Delivery” untuk para pengguna di Lembah Klang. Melaluinya, Shopee membolehkan orang ramai menerima barangan dengan pantas, dalam tempoh sekitar 2 jam selepas pembelian dilakukan di laman edagang Shopee.

Ini sekaligus membawa kepada pengalaman pembelian serba-baharu dan pantas. Pengguna boleh melakukan pembelian dan menerimanya dalam hanya beberapa jam – seterusnya boleh menggunakan barang yang dibeli serta-merta.

Shopee menyatakan ciri ini disokong oleh sejumlah penjual, di Lembah Klang. Tempoh penghantaran adalah sekitar 2 jam selepas dibeli, antara pukul 9 pagi ke 9 malam. Sokongan ini tersedia sekiranya jarak pembeli dan penjual adalah sekitar 30 kilometer.

Dari segi kos, untuk jarak 4km pertama, Shopee Instant Delivery berharga RM6 untuk penghantaran, dan ia meningkat RM1 untuk setiap kilometer seterusnya sehingga maksima 30km.

Untuk menjayakan perkara ini, penghantar ShopeeFood akan mengambil barangan dan menghantarnya kepada pengguna. Shopee turut menetapkan beberapa had lain terhadap barang yang boleh dihantar melalui Shopee Instant Delivery ini, termasuk berat maksimum 10kg, selain barangan bersaiz 30x30x30cm.

Bagi anda yang berminat, boleh menyemak laman khusus Shopee Instant Delivery untuk mengetahui lanjut mengenainya, dan pada masa yang sama menyemak penjual yang menyokong penghantaran segera ini.

Komen