Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi. Melihat secara umum kedua-duanya menawarkan rekaan yang sama namun mengetengahkan perkakasan dalaman menarik berbeza untuk mencapai target pengguna masing-masing.
Google Pixel 8 Pro menggunakan skrin LTPO AMOLED 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 2,400nits. Ini dipadankan pula dengan cip Google Tensor G3, memori 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB untuk tunjang utama. Kamera utama menggunakan sensor 50MP lebar + 48MP telefoto + 48MP ultra-lebar, sementara itu kamera swafoto pula sebesar 10.5MP. Peranti juga memuatkan bateri 5,050mAh dengan pengecasan pantas 30W dan nirwayar 23W. Terdapat sensor suhu kulit yang diletakkan bersebelahan kamera peranti ini.
Google Pixel 8 pula dilengkapi skrin AMOLED 6.2-inci beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Turut disertakan ialah cip Google Tensor G3, memori 8GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB untuk tunjang utama. Bateri pula sebesar 4,575mAh dengan pengecasan pantas 27W dan nirwayar 18W. Kemudian diikuti juga dengan kamera utama 50MP lebar + 12MP ultra-lebar dan kamera swafoto 10.5MP yang melengkapi peranti ini.
Google turut meningkatkan sistem kamera pada peranti dengan ciri menarik seperti Pro Controls, Best Take, Photo Unblur dan Magic Editor. Selain turut menawarkan ciri berasaskan AI yang dinaiktaraf seperti pembantu maya yang kini boleh menghuraikan apa yang ada pada skrin. Kemudian diikuti pula dengan ciri Call Screen yang boleh mengesan dan menapis lebih banyak panggilan spam.
Kedua-dua peranti baharu ini juga disertakan VPN percuma oleh Google One beserta kemas kini OS dan keselamatan selama 7 tahun. Harga jualan adalah bermula $699 untuk Pixel 8 dan $999 untuk Pixel 8 Pro.