Cari @ Amanz

Google hari ini secara rasminya melancarkan sistem operasi Android 14, dan turut menawarkan kod sumber AOSP generasi baharu berasaskan Android 14.

Bersama-sama dengannya, Google mengumumkan Android 14 akan mula diperkenalkan hari ini untuk peranti Pixel terpilih. Kemaskini sama turut akan hadir ke peranti pengeluar lain pada tahun ini, termasuk Samsung, iQOO, Nothing, OnePlus, Oppo, Realme, Sharp, Sony, Tecno, Vivo dan Xiaomi.

Android 14 memfokuskan kepada beberapa perkara dalam sistem operasi – terutamanya pada prestasi dan juga kadar efisien sistem operasi. Ia kini menyokong pelancaran aplikasi lebih pantas, melalui pengoptimasian cache aplikasi.

Android 14 juga membawa kepada lebih pengubahsuaian berdasarkan citarasa seseorang pengguna, termasuk menjadikan teks sehingga 200% lebih besar pada peranti. Disamping itu, ia kini menyokong Ultra HDR 10-bit untuk gambar.

Privasi juga turut diberikan perhatian, dimana pengguna boleh menyemak sejumlah perkara melibatkan perkongsian data di suatu halaman khusus dan mengawalnya dengan lebih baik. Pengguna juga perlu berikan kebenaran sekiranya sesuatu aplikasi ingin menjalankan aktiviti pada latar.

Pengguna turut boleh mengubah-suai gambar latar skrin kekunci mengikut citarasa mereka, dan menariknya juga, Google menyertakan sokongan penjanaan gambar latar pada Android 14 dalam menjadikan sesuatu gambar latar unik kepada anda sahaja.

Ciri lain yang disertakan adalah termasuk sokongan seperti Flash Notification yang menyalakan lampu suluh untuk notifikasi, dan juga sokongan menggunakan telefon Android sebagai webcam.

Dengan pengumuman ini, sama-sama kita nantikan pelbagai pengeluar kini bersaing dalam menawarkan kemaskini Android 14 kepada peranti keluaran mereka.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd