Google hari ini mengumumkan cip pemprosesan terbaharu mereka yang akan menjana telefon pintar Pixel 8 dan juga Pixel 8 Pro. Cip baharu ini dikenali dengan nama Tensor G3.
Tensor G3 hadir dengan fokus terhadap kecerdasan buatan, sekaligus membawa kepada pemprosesan lebih berkuasa untuk sejumlah ciri berasaskan kecerdasan buatan – terus pada peranti. Disamping sokongan kecerdasan buatan, Google menyatakan Tensor G3 ini hadir dengan keupayaan untuk menjalankan ciri generatif pada peranti – salah satu perkara yang hangat diperkatakan tahun ini. Ia juga menjadikan Google terawal dalam pasaran untuk menawarkan integrasi seumpamanya pada telefon yang dijual kepada orang ramai.
Cip Tensor G3 ini menguasakan Pixel 8, dan hadir bersama model pembelajaran mesin yang 2 kali ganda lebih tinggi berbanding Pixel 6.
Google turut sama menekankan Pixel 8 adalah telefon pertama yang turut menyertakan sokongan model teks-ke-suara seperti yang digunakan pada pusat data Google. Perkara ini turut dijayakan melalui penggunaan cip Tensor G3 ini dengan binaan 4nm.
Selain kuasa pemprosesan dan sokongan kecerdasan buatan, Tensor G3 turut dilengkapi dengan sokongan sekuriti bersama sokongan teras Titan M2 – menjadikan Pixel lebih selamat berbanding lain.