Boost dan CelcomDigi kini mengumumkan kerjasama, dan memperkenalkan kad prabayar tersendiri dinamakan Beyond Card. Kad prabayar ini hadir dengan kerjasama pihak Mastercard, dan pada masa yang sama menawarkan sokongan BNPL melaluinya.
Kad prabayar ini membolehkan pengguna melakukan pembayaran melalui baki di Boost Wallet, atau turut menggunakan kredit yang dibenarkan dibawah ciri bayar nanti yang dinamakan Boost PayFlex.
Ini sekaligus membawakan ciri seumpama kad kredit, dimana anda boleh menggunakan kad prabayar tanpa perlu tambah-nilai terlebih dahulu – dan membayar ia pada kemudian masa. Setiap pengguna akan diberikan had belanja mereka tersendiri – berbeza mengikut penggunaan.
Boost menyatakan kad prabayar ini boleh digunakan di pelbagai pekedai seperti biasa, dan ciri BNPL boleh digunakan di lebih 100 juta peruncit Mastercard seluruh dunia. Boost PayFlex membolehkan ansuran pembayaran sehingga 3 bulan.
Pendaftaran untuk Beyond Card ini adalah terhad, dan pengguna terpilih akan menerima jemputan bermula 9 Oktober 2023. Boost dijangka membuka ia kepada pengguna Celcom terlebih dahulu, sebelum diperluaskan kepada pengguna Digi.
Disamping untuk pembayaran, Beyond Card juga yang pertama di Malaysia memberikan Ganjaran Pelancongan Mastercard, dimana pengguna akan menerima ganjaran dan pulangan tunai untuk pembelian bagi sesetengah perkara.
Permohonan kad boleh dilakukan pengguna Celcom melalui aplikasi boost, dan mencipta akaun Premium Wallet. Seterusnya, boleh menekan butang Beyond Card. Sebaik sahaja selesai, pengguna akan diberikan dengan kad maya terlebih dahulu, dengan pilihan permohonan kad fizikal pada harga RM20.
Bagi anda yang berminat, boleh menyemak Beyond Card ini melalui laman rasmi Boost hari ini.