Hari demi hari ada sahaja perkara baharu mengenai AI generatif. Malam tadi Google mengumumkan Assistant yang dikuasakan Bard, aplikasi kamera dengan teknologi AI yang menakjubkan, kemudian Windows 11 dikemaskini dengan CoPilot dan banyak lagi.
Aplikasi berita Artifact yang dibangunkan oleh bekas pengasas Instagram turut menggunakan AI seperti untuk meringkaskan berita dalam pelbagai format. Baru-baru ini mereka telah mengemaskini aplikasi dengan tambahan AI generatif untuk menjana gambar pada perkongsian pengguna.
Bagi yang tidak mengikuti perkembangan aplikasi berita yang menarik ini, sokongan Post telah diperkenalkan untuk pengguna berkongsi berita menarik sendiri dan boleh mengikuti antara satu sama lain. Di bahagian ini, pengguna boleh menambah gambar dan kemas kini ini membolehkan pengguna menjana gambar dengan prom yang ringkas sebelum dikongsikan kepada semua.
Dalam cubaan saya, proses menjana gambar pada aplikasi ini berlaku dengan pantas iaitu kurang 10 saat. Ia turut boleh dijana beberapa kali sebelum dipilih untuk dimasukkan dalam perkongsian pengguna. Ciri ini tersedia kepada aplikasi Artifact di iOS dan juga Android.