OnePlus Pad Go bakal dilancarkan secara rasmi 6 Oktober ini. Dari aspek rekaan tablet ini mempunyai panel belakang dengan dwi-kemasan yang merangkumi matte dan berkilat. Turut disertakan ialah bonggol kamera berbentuk bulat untuk kamera utama tunggal bersama penjenamaan OnePlus. Panel hadapan pula memuatkan saiz bezel yang sekata pada keempat-empat sisi.
Selain daripada rekaan, OnePlus turut berkongsi secara terbuka mengenai perkakasan dalaman pada tablet. Skrin sebesar 11.35″ beresolusi 2.4K dan bernisbah aspek 7:5 akan digunakan. Dalam pada itu ia juga melepasi pensijilan TÜV Rheinland Low Blue Light untuk pencahayaan sinar biru yang rendah.
Turut disertakan ialah empat pembesar suara terbina dengan teknologi Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang emersif. Tablet juga boleh didapati dalam pilihan LTE dan 5G terbina, di samping gabungan memori 8GB RAM dan 256GB diberikan. Bateri 8000mAh juga akan digunakan dengan sistem pengecasan pantas 33W.
Persoalan utama yang tinggal ketika ini hanyalah berkaitan cip pemprosesan, sistem operasi dan harga jualan rasmi. Kesemua ini sudah semestinya akan terjawab sepenuh selepas pelancaran rasminya esok.