Cari @ Amanz

Jabra sehingga hari ini masih aktif dalam menawarkan kelengkapan untuk pejabat seperti set audio dan set kamera. Kamera web mereka iaitu PanaCast 20 sangat berkualiti sehingga hari ini saya menggunakannya untuk pelbagai sesi telesidang. Terbaru, Jabra Malaysia telah melancarkan PanaCast 50 iaitu sistem soundbar dengan kamera kegunaan pejabat.

Jabra PanaCast 50 ialah sebuah soundbar dengan kamera 13 Megapixel yang menyokong sudut pandangan 180 darjah dan melakukan rakaman 4K. Sistem speaker yang digunakan mempunyai 4 pemandu khas yang boleh membatalkan kesan gema. Terdapat 8 mikrofon terbina untuk sokongan menangkap audio setiap individu di ruang pejabat dengan mudah.

Selain itu sebuah tablet 10.1-inci yang dikuasakan Android turut disediakan dengan setiap pembelian. Ia berfungsi sebagai alat kawalan utama untuk menguruskan mesyuarat, mengumumkan sesuatu dan banyak lagi. Jabra menyertakan Microsoft Teams dan Zoom secara terbina untuk memudahkan lagi setiap pekerja.

Sistem PanaCast 50 turut mempunyai sokongan menyambungkan peralatan mesyuarat sendiri seperti kamera lain, mikrofon dan perkakasan pejabat lain yang memerlukan sambungan Internet. Turut terbina adalah sistem bilik mesyuarat pintar, pengarah digital, zum pintar dan beberapa alatan digital lain yang memudahkan urusan mesyuarat dan merekod kehadiran.

Jabra PanaCast 50 boleh disambungkan dengan HDMI dan menyokong perkongsian paparan jika ingin menggunakan lebih daripada satu skrin. Sensor udara turut disediakan untuk membaca kualiti udara dalam bilik dan paling menarik ada ciri Ultrasonic Motion yang mengesan manusia peranti ini aktif secara automatik.

Harga jualan di Malaysia adalah RM26,070 dan Jabra Malaysia menyasarkan produk ini untuk pengguna perusahaan sahaja.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd