Carian
Huawei Watch GT 4 Kini Rasmi Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM1,099
October 5, 2023 Amy Maizuraa

Huawei Watch GT4 ditawarkan secara rasminya di Malaysia hari ini. Sebanyak dua variasi disediakan yang terdiri dengan saiz 41mm dan 46mm dengan kerangka berbentuk bulat. Kedua-duanya juga diperbuat daripada keluli tahan karat, di samping turut memuatkan tombol berputar dan butang sisi khusus.

Seterusnya skrin bersaiz 1.43-inci dengan kepadatan piksel 326ppi digunakan pada model 46mm. Sementara itu model lebih kecil pula dilengkapi skrin 1.32-inci yang menyokong kepadatan piksel 352ppi. Panel pula sejenis AMOLED dan menyokong ciri Always on Display yang berguna dalam sesetengah keadaan. Ia juga menyokong panggilan bluetooth, balasan teks ringkas dan log panggilan masuk.

Sensor disertakan pula ialah pemantauan degupan jantung, SpO2, analisa tidur, tahap stress dan penjejakan kesihatan wanita. Pada masa sama turut menawarkan lebih 100 mod sukan terbina dan keseluruhan tubuh kalis air sehingga 5ATM.

Tambatan pantas boleh dibuat menerusi bluetooth, yang juga digunakan melalui aplikasi HUAWEI Health pada peranti Android dan iPhone. Bateri disertakan pula boleh bertahan sehingga 14 hari untuk model 46mm, sementara itu 41mm bertahan selama seminggu.

Bagi yang berminat kedua-duanya boleh didapati di Malaysia dengan harga bermula RM1,099, RM1,199 dan RM1,699 bergantung kepada jenis material tubuh dan tali. Sesi pratempahan telah dibuka sehingga 13 Oktober 2023 dengan hadiah percuma bernilai hingga RM580 diberi bersama.

Komen