Pengenalan Huawei Watch Ultimate Design telah menambah lagi kemeriahan acara pelancaran produk baharu di Malaysia hari ini. Ia merupakan jam tangan premium yang tampil anggun dengan sebahagian tubuh disaluti emas 18K dan seramik nanocrystal khususnya pada bahagian bezel.


Penampilannya bertambah anggun dengan tombol berputar serba baharu yang juga diperbuat daripada emas 18K bersama tali sejenis titanium. Turut disertakan ialah binaan cangkuk dengan rekaan Adjustable butterfly yang boleh dilaras dengan mudah sekaligus sesuai dipakai pada pelbagai saiz pergelangan tangan. Ia juga dikatakan telah melalui pelbagai teknik pemprosesan yang menjadikannya lebih kukuh dan tahan lasak berbanding versi biasa.


Menyentuh mengenai spesifikasi pula keseluruhannya sama sahaja dengan Huawei Watch Ultimate sebelum ini. Gabungan skrin LTPO OLED 1.5-inci beresolusi 450 X 450 piksel, sokongan mod menyelam sehingga 100 meter dan bateri 530mAh dengan ketahanan 14 hari yang masih dikekalkan. Sensor disertakan ialah pemantauan kadar degupan jantung, pola tidur, SpO2 dan juga ECG.


Bagi yang berminat Huawei Watch Ultimate Design ditawarkan di Malaysia dengan harga RM13,999 Ketersediaan adalah terhad sebanyak 100 unit sahaja di Malaysia menerusi kedai rasmi Huawei terpilih.